LRA LUBUK BUNTAR LAMA SIAP SEPENUHNYA, BEKALAN AIR LEBIH STABIL

 


Ku Azizah Ku Hamid


BANDAR BAHARU - Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama bernilai RM51.99 juta telah siap sepenuhnya dan dijangka dapat memastikan bekalan air yang lebih stabil serta mencukupi bagi penduduk dan pembangunan perumahan di kawasan sekitarnya.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusuf@Munir Zakaria berkata, LRA itu kini mempunyai kapasiti 34 juta liter sehari (MLD) dan mampu membekalkan air melebihi keperluan semasa, iaitu sekitar 27 MLD.


Menurut beliau, projek yang mula dilaksanakan pada 2021 itu berjaya disiapkan sepenuhnya pada 8 Januari lalu, lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan pada 9 Januari.


“Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor dengan kerjasama konsultan serta Syarikat Air Darul Aman (SADA),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke LRA Lubuk Buntar Lama, di sini, hari ini.


Mohamad Yusuf berkata, kerajaan negeri yakin projek berkenaan akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat selain menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan baharu serta merancakkan pembangunan ekonomi dan perumahan di kawasan tersebut.


“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kontraktor, jurutera, konsultan serta semua pihak terlibat atas komitmen tinggi sehingga projek ini berjaya disiapkan mengikut perancangan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments