Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat
Pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini bahawa anak-anak seawal usia 6 tahun akan memulakan persekolahan di Darjah 1 bukan sekadar satu kenyataan dasar.
Ia adalah keputusan besar yang menyentuh asas pembentukan insan, lalu wajar mengundang renungan mendalam seluruh rakyat. Namun begitu yang mengejutkan bukan hanya kandungannya, tetapi cara ia diumumkan.
Perubahan sebesar ini seolah-olah hadir tanpa dialog awam, tanpa perbincangan menyeluruh, dan tanpa persediaan mental kepada ibu bapa, guru serta masyarakat.
Rakyat tertanya-tanya — sejak bila keputusan sepenting masa depan anak-anak dibuat tanpa pengetahuan dan keterlibatan mereka?
Persoalan paling asas perlu dijawab dengan jujur:
Mengapa rakyat tidak dilibatkan dalam kajian dan perbincangan awal?
Mengapa ibu bapa, pendidik, pakar kanak-kanak dan masyarakat sivil tidak dijemput bersama memberi pandangan?
Siapakah sebenarnya yang dirujuk dalam membuat keputusan ini?
Adakah pandangan itu benar-benar mewakili keseluruhan pemegang taruh — atau sekadar kelompok terpilih yang sehaluan dengan pembuat dasar?
Di sinilah punca kegusaran rakyat. Pendidikan tidak boleh ditadbir dengan pendekatan tertutup dan eksklusif.
Setiap keputusan pendidikan memberi kesan jangka panjang, bukan sahaja kepada prestasi akademik, tetapi kepada pembentukan emosi, nilai dan jati diri generasi masa depan.
Dalam soal pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu kembali kepada asas yang paling penting: pendidikan bukan milik kementerian, tetapi hak rakyat.
Benar, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menetapkan dasar.
Namun kuasa itu hadir bersama amanah — amanah untuk mendengar, menilai dan memahami realiti sebenar kehidupan rakyat, bukan sekadar angka dan perbandingan antarabangsa.
Lebih membimbangkan apabila kuasa sebesar ini dipusatkan kepada seorang menteri yang kurang pengalaman mendalam dalam ekosistem pendidikan.
Dalam pendidikan, kesilapan bukan sekadar kesilapan dasar — ia adalah kesilapan terhadap masa depan.
Kesan buruknya tidak boleh diputar semula, dan generasi yang menjadi mangsa tidak mendapat peluang kedua.
Pasti ada pihak yang berhujah bahawa Jawatankuasa Khas telah dibentuk. Namun kewujudan jawatankuasa semata-mata bukan jaminan kebijaksanaan.
Keberkesanannya tetap boleh dipersoalkan jika pendekatan yang digunakan bersifat selektif, menapis suara yang berbeza, dan meminggirkan pihak yang tidak sealiran. Pendidikan tidak boleh dibina dalam ruang gema yang sempit.
Alasan bahawa lebih 143 negara telah melaksanakan kemasukan Darjah 1 pada usia 6 tahun juga bukan hujah yang kukuh. Ia kedengaran mudah, tetapi hakikatnya lemah dan mengelirukan.
Apakah negara ini dibina atas prinsip ikut orang?
Orang buat, kita buat — tanpa mengambil kira konteks sosioekonomi, budaya, struktur keluarga dan realiti tempatan?
Lebih merisaukan ialah cadangan penggunaan ujian diagnostik khas untuk menyaring kanak-kanak berusia 6 tahun.
Langkah ini berpotensi membawa kesan psikologi yang besar — tekanan, kebimbangan, rasa gagal dan hilang keyakinan diri — pada usia muda anak-anak yang sepatutnya dipenuhi rasa ingin tahu, keriangan dan keselamatan emosi.
Bagi anak-anak daripada keluarga M40 dan T20, mungkin mereka lebih bersedia dari segi sokongan, pendedahan dan sumber.
Namun realitinya sangat berbeza bagi anak-anak daripada keluarga B40. Ujian ini akan melebarkan jurang, bukan merapatkannya.
Anak-anak kecil akan dibayangi rasa takut untuk gagal, dan sejak usia enam tahun lagi mereka sudah diletakkan dalam kategori “berjaya” atau “tidak berjaya”. Tekanan ini tidak terhenti pada anak-anak sahaja.
Guru-guru turut menerima tekanan berganda — pertambahan murid secara mendadak, keperluan pedagogi yang lebih kompleks, dan penilaian prestasi berdasarkan murid yang lebih muda.
Ibu bapa pula berdepan tekanan perbandingan sosial, khususnya apabila anak mereka tidak melepasi ujian diagnostik tersebut.
Hakikatnya, reformasi pendidikan yang diperlukan oleh negara bukan pada angka, tetapi pada keinsanan.
Pendidikan seharusnya membangunkan insan secara seimbang — akademik, jasmani, rohani, emosi, nilai, adab dan kemahiran hidup — bukan sekadar mempercepatkan proses persekolahan.
KPM sepatutnya memberi fokus kepada isu yang jauh lebih mendesak seperti:
Memperbaiki prasarana sekolah, khususnya di luar bandar yang uzur;
Membolehkan sesi sekolah pagi dan KAFA di sebelah petang dijalankan di sekolah yang sama;
Menangani trend guru bersara awal yang semakin membimbangkan; dan
Menyelesaikan masalah guru mengajar di luar bidang kepakaran.
Inilah realiti sebenar sekolah anak-anak kita hari ini. Masalahnya banyak, dan ia menuntut keberanian untuk membaiki, bukan keghairahan mencipta legasi politik.
Malangnya, apa yang lebih ditonjolkan hari ini ialah usaha meninggalkan nama dalam sejarah.
Yang dibimbangkan, bukan legasi yang akan dikenang — tetapi tragedi yang akan diwariskan.
Sesungguhnya anak-anak kita adalah khalifah dalam pembikinan.
Mereka bukan bahan eksperimen.
Mereka bukan tikus makmal.
Ayuh, selamatkan pendidikan negara sebelum kita menyesal di kemudian hari.

0 Comments