LEBIH 400 RELONG SAWAH TERJEJAS, PINTU TANDOP ROSAK SEGERA DIBAIKI

 


Oleh: Amal Nabila

POKOK SENA – Usaha menyalurkan bekalan air ke kawasan sawah padi yang terjejas akibat kemarau dilaksanakan menerusi program gotong-royong bagi menutup pintu tandop yang rosak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood berkata, kemarau berpanjangan itu menjejaskan lebih 400 relong sawah sehingga menyebabkan kawasan terbabit mengalami kekeringan.

Menurutnya, program gotong-royong berkenaan dilaksanakan bagi membolehkan aliran air disalurkan dari Sungai Kampung Budi ke Sungai Kampung Nawa sebagai langkah segera menangani masalah kekurangan bekalan air.

“Insya-ALLAH, sekiranya paras air Sungai Kampung Nawa kembali penuh, ia dijangka dapat menampung keperluan air bagi empat kampung yang terlibat dengan kemarau,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Setar, Ir. Gs. Mohd Zulkarnain Sahat atas kerjasama yang diberikan bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ustaz Salim berharap usaha berkenaan dapat membantu melancarkan aliran air serta menjamin kelangsungan hasil pertanian para petani di kawasan terlibat.

Post a Comment

0 Comments