Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 telah melabuhkan tirainya. Seperti kebiasaannya, ia menjadi medan untuk para perwakilan menzahirkan kekecewaan dan harapan terhadap parti yang suatu ketika dahulu menjadi tonggak perjuangan bangsa Melayu. Dalam setiap ucapan, terserlah satu emosi yang sama — kasih yang tidak pernah padam, tetapi diselubungi keresahan yang semakin mendalam.
UMNO bukan parti kecil dalam sejarah negara. Ia pernah memimpin perjuangan kemerdekaan dan membina asas Malaysia moden. Namun hari ini, hakikat yang perlu diakui dengan jujur ialah UMNO sedang kehilangan arah. Kepimpinan UMNO sendiri masih keliru tentang ke mana parti ini ingin dibawa. Daripada sebuah parti Melayu yang gah, UMNO kini dihukum bukan sahaja oleh rakyat, malah oleh ahlinya sendiri. Ini bukan kegembiraan bagi sesiapa, tetapi luka besar buat seluruh orang Melayu.
PAU 2025 mempersembahkan kualiti kepimpinan tertinggi yang UMNO miliki hari ini. Dengan tegas mereka menyatakan bahawa UMNO tidak pernah bersama DAP, namun dalam masa yang sama mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang teras utamanya ialah DAP. Percanggahan ini terlalu jelas di mata rakyat. Lebih-lebih lagi apabila alasan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan disandarkan sepenuhnya kepada titah DYMM Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu.
Dari satu sudut, alasan itu ada benarnya. Namun orang Melayu dan rakyat Malaysia memahami satu realiti yang lebih pahit — UMNO hari ini tidak mampu hidup tanpa kuasa. UMNO memerlukan jawatan dalam kabinet, agensi dan GLCs untuk kelangsungan politiknya. Jawatan menjadi nadi untuk dana, pengaruh dan platform mendekati rakyat. Inilah hakikat yang semakin sukar disembunyikan.
Lebih membingungkan, perbezaan ketara antara ucapan Ketua Pemuda UMNO yang mahu menyerang DAP habis-habisan, dengan ucapan Presiden UMNO yang mahu memastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga ke akhir penggal. Dua nada yang bercanggah ini mencerminkan krisis prinsip yang mendalam. Kepada mereka yang berfikir secara rasional, keadaan ini hanya boleh dirumuskan sebagai politik yang tidak lagi berpaksikan kejujuran.
Persoalannya, bagaimana UMNO boleh jatuh ke tahap ini? Tidakkah UMNO belajar daripada PRU15?
Kekalahan itu sepatutnya menjadi titik muhasabah paling kritikal dan bukan sekadar episod yang dilupakan oleh UMNO. Jutaan ahli UMNO yang setia pasti berasa pedih melihat parti yang mereka cintai hilang halatuju yang jelas. Inilah titik kelemahan terbesar UMNO hari ini.
PAU sepatutnya menjadi medan kebangkitan semangat perjuangan, namun ia bertukar menjadi medan meluahkan marah-marah sayang, meratapi nasib tapi masih boleh tersenyum atau berjenaka dan tidak kurang juga saling puji memuji. Kebangkitan daripada kejatuhan tidak boleh dibina atas senda gurau dan puji-pujian. Bangsa yang besar tidak bangkit dengan nostalgia, tetapi dengan keinsafan dan keberanian untuk berubah.
Maka orang Melayu kini berada di persimpangan. Kepada siapakah undi dan harapan harus diberikan? Jawapannya bukan lagi soal sentimen, tetapi soal masa depan.
Jawapannya terbaik dan semakin jelas hari ini khususnya di PRU16 nanti ialah PAS dan Perikatan Nasional. Benar, PAS dan PN juga mempunyai cabaran tersendiri. Namun dalam kekeliruan politik hari ini, PAS tampil sebagai parti yang paling konsisten membawa iltizam membina Malaysia baharu yang lebih bersih dan bermaruah.
PAS menawarkan Malaysia yang:
1. Bebas daripada rasuah, kronisme dan nepotisme.
2. Tidak menindas rakyat dengan pelbagai cukai yang melampau.
3. Lebih agresif dalam membangunkan ekonomi rakyat dan negara secara menyeluruh.
4. Lebih dinamik dalam membuka peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
5 Memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik khususnya kepada rakyat berpendapatan rendah.
6. Tidak berkompromi dalam soal keselamatan dan pertahanan negara.
7. Lebih harmoni dengan menjadikan perpaduan kaum sebagai kekuatan nasional.
Untuk itu Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani membawa perubahan, bukan sekadar mempertahankan kebiasaan lama.
Walaupun negara ini belum pernah dipimpin oleh Perdana Menteri dan menteri kanan daripada PAS, ketiadaan sejarah itu tidak bermakna PAS tidak mempunyai tokoh yang layak. Kepimpinan bukan soal warisan kuasa, tetapi soal keupayaan, integriti dan keberanian memimpin dengan amanah.
Keistimewaan PAS terletak pada gabungan ulama dan profesional dalam satu saf perjuangan. Perpaduan antara kekuatan moral dan kecekapan pentadbiran ini menjadikan PAS sebuah parti yang seimbang — berprinsip tetapi praktikal, berakhlak tetapi berdaya saing. Inilah kombinasi kepimpinan masa depan yang amat diperlukan oleh negara.
PAS tidak mendabik dada. PAS tidak menjanjikan keajaiban segera. Namun PAS dan PN menawarkan sesuatu yang semakin mahal dalam politik hari ini — kejujuran, prinsip dan kesediaan berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Orang Melayu tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia lama. Kita mesti berani memilih harapan baharu. Masa depan agama, bangsa dan negara tidak boleh digadaikan kepada politik yang keliru dan tidak berprinsip.
Untuk itu, PAS akan terus fokus untuk menjadi parti pilihan orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya — bukan dengan menanam kebencian, tetapi dengan membina keyakinan.
PAS FOR ALL.

0 Comments