TANAMAN BULUH, ASOKA PENGHADANG SEMULA JADI DI LALUAN BERISIKO SUNGAI KOROK

 

Oleh: Roslinda Hashim 

JERLUN - Laluan sepanjang Jalan Sungai Korok sejauh 15 kilometer kini berubah menjadi landskap menghijau selepas ditanam pokok buluh madu dan pokok Asoka sebagai usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan sering berlaku kemalangan.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja mengindahkan persekitaran, malah berfungsi sebagai penghadang semula jadi yang berpotensi mengurangkan risiko kemalangan di laluan lurus berkenaan.

Menurutnya, kawasan tersebut sering dikaitkan dengan tragedi kemalangan jalan raya, termasuk tragedi menyayat hati mengorbankan enam sekeluarga yang meninggalkan seorang anak yatim piatu pada tahun lepas.

“Jalan lurus ini mungkin tempat yang menyedihkan bagi sebahagian keluarga kerana banyak kemalangan berlaku di sini. Inisiatif ini diambil untuk kita tingkatkan aspek keselamatan jalan raya yang berperanan sebagai penahan,” katanya ketika meninjau tanaman pokok buluh dan Asoka di tebing Jalan Sungai Korok, Kampung Kemboja.

Sanusi berkata, cadangan awal untuk memasang pagar penghadang (guard rail) di sepanjang laluan tersebut dipertimbangkan semula berikutan kos yang tinggi, iaitu sekitar RM400,000 bagi setiap kilometer, dan boleh mencecah RM6 juta untuk keseluruhan laluan.

“Disebabkan kos pasang pagar penghadang tinggi, kita cadangkan tanaman buluh sebagai alternatif. Cadangan ini disambut baik oleh semua pihak dan akhirnya direalisasikan,” ujarnya.

Beliau jelaskan, buluh madu dan pokok Asoka dipilih kerana sifatnya yang tumbuh lurus, kukuh dan sesuai dijadikan penghadang semula jadi di kawasan tebing sungai yang masih mempunyai rizab tanah.

“Selain menjadi landskap menghijau dan menyegarkan pandangan mata, terutama di bawah terik matahari, ia juga bertindak sebagai penahan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Tambah beliau, kaedah tersebut dilihat lebih menjimatkan kos serta mesra alam berbanding pembinaan struktur konkrit atau pagar besi.

Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu atas tindakan pantas merealisasikan cadangan berkenaan.

“Saya berharap usaha ini dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan di laluan ini,” katanya.

Pada 10 Julai 2025, Sanusi mencadangkan supaya laluan sepanjang Sungai Korok ditanam pokok buluh madu bagi mengurangkan risiko kemalangan, susulan tragedi sebuah kereta terjunam ke dalam sungai tersebut yang mengorbankan enam sekeluarga.

Post a Comment

0 Comments