Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah bersedia menjalin kerjasama dengan syarikat swasta termasuk E-Idaman Sdn Bhd bagi meneroka peluang kerjasama strategik, khususnya dalam pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Inovasi dan Teknologi, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, antara kerjasama yang sedang diteliti ialah pelaksanaan projek rintis pengurusan sisa pepejal di kawasan kampung, yang pertama di Kedah.
Menurut beliau, perkhidmatan pengurusan sisa pepejal oleh E-Idaman ketika ini masih belum diperluaskan ke kawasan kampung di negeri ini, justeru DUN Jitra menawarkan diri untuk dijadikan projek perintis bagi menilai keberkesanan projek berkenaan.
“Saya telah menawarkan kepada E-Idaman untuk mengeksplorasi potensi di Kedah untuk kita lihat pendekatan perkhidmatan ini ke kawasan kampung. Belum ada lagi perkhidmatan seumpama di Kedah.
“Sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Jitra, saya tawarkan komitmen untuk menjadikan Jitra sebagai projek perintis, namun ia bergantung kepada keperluan dan kesediaan semua pihak termasuk E-Idaman, SWCorp dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program ‘E-Idaman Inspire Supervisory Programme Graduation’, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud.
Haim Hilman berkata, Kerajaan Negeri telah memohon agar E-Idaman membentangkan model terbaik skim perkhidmatan ke kawasan kampung, meliputi aspek pembersihan, pengumpulan sampah dan pengurusan sisa pepejal secara teratur dan berkesan.
“Kita akan teliti peluang dan tawaran ini sejauh mana ia praktikal dalam konteks Kedah sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, model perkhidmatan yang dilaksanakan oleh E-Idaman di Kangar, Perlis sebelum ini akan menjadi rujukan awal untuk Kedah meneroka potensinya, khususnya bagi memenuhi keperluan masyarakat luar bandar.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif itu memerlukan pendekatan bersepadu serta sokongan penuh kerajaan negeri, bukan hanya melibatkan syarikat dan penduduk kampung semata-mata.
“Isu bayaran perkhidmatan juga perlu dikaji, termasuk kemungkinan pemberian geran oleh SWCorp. Semua ini perlu dieksplorasi bagi mendapatkan gambaran tepat sebelum program ini dapat dimulakan di kampung-kampung,” katanya.
Mengulas kesesuaian pelaksanaan, beliau berkata, perkhidmatan berkenaan boleh dimulakan sebaik sahaja perbincangan selesai dan persetujuan dicapai antara semua pihak terlibat, sebelum tarikh pelaksanaan ditentukan.

0 Comments