JAMBATAN KOTA DIJANGKA SIAP SEAWAL MAC BERBANDING JADUAL ASAL JUN

 


Oleh: Roslinda Hashim



KOTA SARANG SEMUT - Pembinaan Jambatan Kota dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal apabila kerja-kerja pembinaan kini menunjukkan perkembangan memberangsangkan.


Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, projek berkenaan yang pada asalnya dijadualkan siap dan dibuka kepada pengguna pada Jun ini, dijangka dapat disiapkan seawal Mac sekiranya cuaca mengizinkan dan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar.


Menurutnya, permohonan penutupan jambatan tersebut dijadualkan sehingga 16 Jun 2026 bagi membolehkan kerja pembinaan dijalankan dengan selamat, namun penutupan itu dijangka tidak perlu dilanjutkan sehingga tarikh ditetapkan sekiranya dapat disiapkan lebih awal.


“Penutupan jalan Persekutuan memerlukan kelulusan Menteri, permohonan perlu dibuat lebih awal. Namun dengan kemajuan projek semasa, kita jangka jambatan ini boleh dibuka kepada pengguna lebih awal, sekitar Mac,” katanya, hari ini.


Beliau memaklumkan, jalan alternatif melalui Kampung Choras akan dibaiki oleh Majlis Daerah Yan (MDY) bagi memastikan kelancaran pergerakan penduduk setempat sepanjang tempoh pembinaan.


“Keselamatan pengguna menjadi keutamaan kita kerana kerja-kerja seterusnya melibatkan penggunaan kren untuk mengangkat rasuk yang melintang di sekeliling jambatan,” katanya.


Sabri berkata, perkembangan itu dimaklumkan dalam pertemuan terbaharu bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor selepas pihaknya menyuarakan kesulitan dihadapi penduduk serta peniaga berhampiran kawasan pembinaan.


“Saya harap keadaan cuaca yang baik akan membantu mempercepatkan proses pembinaan, seterusnya membolehkan Jambatan Kota disiapkan dan dibuka kepada orang ramai dalam tempoh terdekat,” ujar beliau.


Pada Selasa, kira-kira 70 penduduk berhimpun di kawasan berkenaan  untuk menyuarakan keluhan berhubung penutupan Jambatan Sungai Sala sejak 1 Disember lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan baharu fasa dua.


Mereka mendakwa penutupan laluan tersebut menjejaskan kehidupan seharian serta ekonomi penduduk setempat khususnya peniaga kecil.


Pemilik Rania Cafe, Siti Rohaida Ahamadan, 35, memaklumkan perniagaannya didakwa mengalami kemerosotan ketara sejak jambatan itu ditutup.


“Perbezaan jualan kasar pada Disember berbanding November tahun lalu hampir separuh, ia menjejaskan pendapatan saya. 


“Dua daripada tujuh pekerja saya terpaksa cari kerja lain kerana saya tak mampu bayar gaji seperti biasa. Jika berlarutan, saya mungkin terpaksa kurangkan lagi pekerja,” katanya yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan tersebut sebagai sumber pendapatan.


Penduduk Kampung Batu 14, Sungai Daun, Mohammad Rauyani Lazim, 44, pula berkata, penutupan jambatan menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh dan merugikan masa.


“Kami harap dapat buka laluan sekurang-kurangnya untuk motosikal. Mereka yang mahu pergi ke Bukit Besar terpaksa melalui Bukit Choras yang mengambil masa kira-kira 20 minit. Ini menyukarkan urusan harian termasuk menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya. 


Sementara, Naib Pengerusi Bomba Sukarela Kota Sarang Semut, Chia Seng Chai, 54, berkata, penutupan jambatan turut menimbulkan kebimbangan dari aspek keselamatan.


“Sekiranya berlaku kebakaran, pasukan bomba sukarela tidak dapat masuk ke kampung tertentu kerana laluan ditutup dan perlu gunakan jalan alternatif yang ambil masa hampir setengah jam hingga satu jam untuk ke lokasi,” katanya.


JKR dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Jambatan Sungai Sala di laluan FT001, dari simpang Bukit Besar hingga simpang tiga Kota Sarang Semut/Pendang, ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bermula 1 Disember 2025 hingga 16 Jun 2026 bagi pembinaan jambatan baharu fasa dua.

Post a Comment

0 Comments