KERJASAMA STRATEGIK AIU, JHEAIK PERKASAKAN PENDIDIKAN INSTITUSI AGAMA KEDAH

 

 


Ku Azizah Ku Hamid 


ALOR SETAR - Al-Bukhary International University (AIU) dan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasakan institusi agama di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato' Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, kerjasama strategik itu diyakini mampu menjadi pemangkin kepada anjakan baharu dalam landskap pendidikan agama negeri ini yang menggabungkan kekuatan tradisi keilmuan Islam dengan keperluan pendidikan moden. 


Jelasnya, kerjasama itu membuka peluang kepada pelajar AIU untuk menjalani latihan industri di Bahagian Pendidikan JHEAIK dan di sekolah-sekolah agama terpilih. 


“Pihak AIU pula bersedia menyediakan kursus dan latihan kepada guru dan pelajar bagi meningkatkan kemahiran, khususnya dalam penguasaan Bahasa Inggeris. 


"Pendekatan yang akan digunakan menekankan pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan interaktif, agar penguasaan bahasa dapat dipertingkatkan tanpa tekanan atau bosan.” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan antara wakil AIU bersama wakil JHEAIK di Wisma Darul Aman.


Mohd Azam berkata, inisiatif ini bukan sahaja memberi pengalaman lapangan kepada mahasiswa universiti, malah turut memberi nilai tambah kepada pengurusan dan pembangunan sekolah-sekolah agama terbabit.


"Dengan sinergi yang terjalin antara institusi pengajian tinggi dan pentadbiran agama negeri, pendidikan Islam di Kedah diyakini akan terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing, demi kemajuan ummah dan kesejahteraan negeri yang diberkati Allah SWT," ujarnya.


Beliau memaklumkan, usaha berkenaan juga menepati hasrat Raja Muda Kedah merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin agar pelajar institusi agama di negeri ini mahir berbahasa Inggeris, sekali gus membolehkan mereka menerokai bidang ilmu lebih luas di peringkat global.

Post a Comment

0 Comments