Oleh: YB Datuk Ustaz Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
Wahai sahabatku DS Zahid,
Mari kita berlawan di pentas demokrasi.
Bukan berlawan bertumbuk atau baling kerusi. Itu budaya lain. Ha ha. Kita berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik. Biar rakyat yang menghakimi siapa yang layak mereka pilih.
Alhamdulillah, PAS terus berkembang. Sokongan semakin meluas, khususnya dalam kalangan anak muda dan golongan intelektual.
Dahulu PAS sering digambarkan hanya berada dalam ruang pengaruh pondok dan orang kampung. Hari ini PAS telah merentas sempadan pengaruh itu.
PRU15 menyaksikan PAS memenangi 43 kerusi Parlimen jumlah terbesar dalam Dewan Rakyat. 6.Dulu PAS dilabel sebagai “dagang”, hari ini PAS menjadi pejuang dan harapan ummah.
Untuk rekod, berikut pencapaian kerusi Parlimen UMNO sahaja dalam beberapa PRU: • PRU 2004: 109 kerusi • PRU 2008: 79 kerusi • PRU 2013: 88 kerusi • PRU 2018: 54 kerusi • PRU 2022 (PRU15): 26 kerusi
Trendnya jelas. UMNO berada di puncak pada PRU2004 dan kemudian menurun secara berperingkat sehingga hanya 26 kerusi pada PRU15.
Saya tidak berniat untuk bersikap kasar terhadap UMNO. Masih ramai akar umbi UMNO yang ikhlas dan berminat bersama PAS dalam perjuangan perpaduan ummah.
Namun saya agak pelik apabila DS Ahmad Zahid menyatakan UMNO bersedia mengundang PAS untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam di luar politik dan cadangan itu pula diluluskan dalam Kabinet. Aik, biar betul?
Sejak bila agenda politik kepartian perlu mendapat kelulusan Kabinet?
Lebih menarik, UMNO yang mempunyai kekuatan keahlian sekitar 3.5 juta orang, kenapa agenda politiknya sebagai “abang long” perlu meminta izin Kabinet?
Tambahan pula, Kabinet tersebut dianggotai menteri-menteri DAP. Ahli UMNO sendiri tentu faham bagaimana pandangan DAP terhadap UMNO dan agenda Islam. Tahu sama tahu lah.
PAS pula kekal dengan prinsipnya, berjuang di pentas demokrasi, bercakap soal Islam tanpa perlu kelulusan sesiapa, dan menyerahkan penilaian akhir kepada rakyat.

0 Comments