HAIWAN POLITIK MULA MENGGELUPUR: BILA PERJUANGAN SEKADAR UNTUK KENYANG

 


Oleh: Afnan Hamimi Taib Azamudden

Berjuang kerana nak kenyang biasanya tak tahan lama. 

Harimau, singa, antara makluk yang berjuang untuk kenyang. Tapi tak lama. Samada mereka kenyang, atau mereka menjadi sumber kekenyangan binatang lain. Inilah politik haiwan. 

Manusia juga ada yang seperti itu, berjuang untuk kepentingan dirinya sahaja. 

Manusia begini akan terus menerus berusaha berpaut pada sesiapa yang ada kuasa supaya dirinya terus kenyang. Selagi mana individu itu ada sesuatu yang boleh mengenyangkan dirinya, selagi itulah dia akan berpaut. 

Manusia begini sangat bimbang jika individu yang dipautnya itu hilang kuasa, hilang kedudukan. Kenapa? Kerana dia bimbang akan mati kelaparan, sebab hilang tempat kenyang. 

Dalam keadaan terdesak, manusia begini akan makan apa sahaja yang ada sekelilingnya, demi untuk kenyang. 

Silap haribulan, tuan yang bagi dia kenyang itupun dia boleh makan demi menyambung hayat dirinya. Inilah haiwan politik. 

Mutakhir kini, haiwan-haiwan politik ini mula keluar dari sarang apabila tempat kenyangnya itu mula terusik. Menyalak menggelupur kerana mahu terus kenyang, takut mati kelaparan. 

Hakikatnya, yang menggelupur akan mati. Yang kenyang akan mati. Yang memberi kenyang juga akan mati. Yang menonton kematian juga akan mati. 

Ya. Mati adalah kesudahan kita semua. 

Yang akan terus hidup walaupun mati, ialah yang berjuang untuk kehidupan selepas kematian. 

Hatinya hidup. Jiwanya hidup. Perjuangannya terus hidup disambung generasi demi generasi. 

Sudah dinukil dalam al-Quran dan al-Sunnah, perjuangan yang ikhlas, teguh cekal berpegang pada prinsip, tidak hirau celaan orang, kepentingan ummah mengatasi segala, matlamatnya untuk menjunjung perintah Allah. Perjuangan seperti ini akan terus hidup, bertahan lama. 

Maka, berjuanglah untuk hidup selepas mati. 

Bukan berjuang untuk hidup kenyang sebelum mati. 

Sekadar pesanan untuk diri.

Post a Comment

0 Comments