Oleh: Dr Mukhtaruddin Musa
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari
Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) pada 20 Oktober 2026 bukan perkembangan politik kecil. Ia berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir, dengan penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan hari pengundian pada 14 November. Lebih menarik perhatian, keputusan itu dibuat hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi dijadual mendengar permohonan PN pada 22 Oktober untuk menangguhkan penggantungan aktivitinya.
RoS menyatakan pembatalan dibuat selepas meneliti dokumen dan penjelasan PN yang dikemukakan pada 12 Oktober dan mendapati penjelasan tersebut gagal menyangkal asas pembatalan. Antara isu pokok ialah dakwaan Bersatu tidak dibenarkan menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, yang dikatakan bercanggah dengan Fasal 7.1 perlembagaan gabungan itu. Aduan rasmi Bersatu mengenai perkara tersebut diterima RoS pada 11 Ogos.
Implikasi segera tentunya kepada PAS, Gerakan, MIPP, Wawasan dan Pejuang yang selama ini menggunakan PN sebagai platform politik bersama. Selagi keputusan pembatalan itu berkuat kuasa, jenama dan logo PN tidak lagi boleh berfungsi seperti sebelumnya dalam PRN Melaka. Namun parti komponennya kekal sebagai parti politik berdaftar secara berasingan. Maka persoalan sebenarnya bukan sama ada PN kehilangan logo, tetapi sejauh mana kehilangan sebuah jenama gabungan mampu mengubah tingkah laku pengundi terhadap parti-parti di dalamnya.
Logo Penting, Tetapi Bukan Segala-galanya
Dalam politik pilihan raya, logo memang penting. Ia membina pengenalan, memudahkan kempen dan menyatukan parti yang berbeza di bawah satu identiti. Namun logo tidak secara automatik menghasilkan kepercayaan pengundi.
PRU15 memberikan contoh yang jelas. Barisan Nasional mempunyai salah satu jenama politik paling lama dikenali di Malaysia, tetapi hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, keputusan terburuk dalam sejarahnya berbanding sekitar 80 kerusi pada PRU14. Sebaliknya PN muncul dengan 74 kerusi.
Maksudnya mudah: pengundi tidak memilih lambang semata-mata. Mereka turut menilai parti, calon, kepimpinan dan keyakinan terhadap tawaran politik yang dibawa. Logo yang kukuh tidak dapat menyelamatkan sebuah parti apabila keyakinan pengundi merosot.
Atas sebab itu, andaian bahawa pembatalan logo PN dengan sendirinya akan melemahkan PAS perlu dinilai secara lebih berhati-hati.
Malah dalam PRU15, PN memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi di Terengganu dengan menggunakan logo PAS, bukannya logo PN. Fakta ini penting kerana ia menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya di kawasan terasnya, penerimaan pengundi tidak bergantung sepenuhnya kepada jenama PN.
PAS Tidak Berdiri Atas Logo PN Semata-mata
PAS mempunyai kelebihan yang tidak semestinya dimiliki semua parti dalam gabungan itu. Ia mempunyai sejarah organisasi yang panjang, identiti tersendiri, rangkaian akar umbi serta jentera pilihan raya yang telah dibina jauh sebelum PN diwujudkan.
Perubahan corak pengundian selepas PRU15 turut menunjukkan pengaruh PAS dan PN dalam kalangan pengundi muda Melayu semakin signifikan. Analisis ISEAS terhadap PRU15 mendapati PN mendahului blok lain dalam kerusi yang mempunyai komposisi pengundi muda yang besar dan menyifatkan gabungan itu mempunyai kelebihan relatif dalam segmen belia.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna PAS sudah menembusi semua segmen pengundi. Kajian lain mengenai PRU15 menunjukkan PN sangat dominan di kerusi majoriti Melayu yang besar tetapi tidak memenangi kerusi kategori majoriti bukan Melayu. Cabaran PAS untuk meluaskan penerimaan dalam kalangan bukan Melayu masih nyata.
Justeru, kekuatan PAS selepas ketiadaan PN sepatutnya dinilai berdasarkan keupayaan parti itu meyakinkan pengundi melalui rekod, calon, integriti, kepimpinan dan tawaran dasar bukan sekadar kemampuan menukar satu logo kepada logo yang lain.
Siapa Lebih Terhimpit Selepas PN?
Di sinilah kesan pembatalan PN mungkin tidak sama kepada semua parti. Bagi PAS, kehilangan PN lebih kepada kehilangan platform gabungan. Bagi parti lebih kecil seperti Gerakan, Wawasan, Pejuang dan MIPP, kehilangan jenama bersama boleh memberi kesan lebih besar kepada keterlihatan, rundingan kerusi dan penyelarasan kempen.
Kedudukan Bersatu pula lebih rumit. Aduan rasmi Bersatu kepada RoS mengenai kedudukannya dalam PN menjadi pencetus kepada penelitian yang akhirnya membawa kepada tindakan terhadap gabungan tersebut. Pada masa sama, PN sebelum ini menegaskan Bersatu tidak pernah secara rasmi disingkirkan daripada gabungan.
Secara politik, keadaan itu menimbulkan paradoks. Jika PN benar-benar tidak dapat dipulihkan melalui proses undang-undang, Bersatu juga kehilangan sebuah platform nasional yang selama ini menghubungkannya dengan PAS dan parti-parti lain. Maka pembatalan PN mungkin bukan sahaja menguji daya tahan PAS, tetapi lebih besar lagi menguji kemampuan Bersatu dan parti-parti kecil membina semula kedudukan masing-masing tanpa payung bersama.
Masa Keputusan RoS Juga Wajar Dipersoalkan
Satu lagi dimensi yang tidak boleh diketepikan ialah soal masa dan proses. Notis RoS bertarikh 22 September memberi PN peluang menjelaskan mengapa pendaftarannya tidak seharusnya dibatalkan. Laporan mengenai notis itu menyatakan PN diberikan tempoh 30 hari untuk memberikan penjelasan. PN kemudian mengemukakan jawapannya pada 12 Oktober.
Pada 13 Oktober pula, Mahkamah Tinggi membenarkan PN meneruskan semakan kehakiman terhadap perintah penggantungan RoS dan menetapkan 22 Oktober untuk mendengar permohonan penangguhan secara inter partes. Tetapi pada 20 Oktober, dua hari sebelum pendengaran tersebut, RoS membatalkan pendaftaran PN.
Fakta ini tidak dengan sendirinya membuktikan wujud campur tangan atau motif politik. RoS pula menegaskan tindakannya dibuat berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 selepas meneliti jawapan PN.
Namun dalam sebuah demokrasi, persoalan bukan hanya sama ada sesebuah agensi mempunyai kuasa membuat keputusan. Sama penting ialah sama ada masa, proses dan alasan keputusan itu mampu meyakinkan masyarakat bahawa kuasa tersebut dilaksanakan secara konsisten, telus dan bebas daripada pertimbangan politik.
Apatah lagi keputusan sebesar ini dibuat ketika PRN Melaka sedang memasuki fasa kritikal. Justeru, pembatalan PN bukan alasan untuk mana-mana parti mengambil mudah, tetapi juga bukan sebab untuk PAS gelabah. Logo boleh dibatalkan melalui proses pentadbiran; sokongan pengundi tidak boleh dibatalkan dengan surat pendaftaran.
Akhirnya, PRN Melaka akan menjadi ujian yang menarik. Jika PAS dan bekas parti komponen PN masih mampu memperoleh sokongan tanpa menggunakan jenama PN, itu membuktikan bahawa kekuatan politik mereka telah melangkaui lambang gabungan.

0 Comments