KEDAH REKODKAN RM185.94 BILION PELABURAN DILULUSKAN 2021 HINGGA 2025

 

“LIBATKAN 800 PROJEK, TAWAR 51,000 PELUANG KERJA”

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kedah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM185.94 bilion menerusi lebih 800 projek sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, dengan potensi mewujudkan lebih 51,000 peluang pekerjaan.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap keupayaan Kedah sebagai destinasi pelaburan strategik, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

Menurutnya, tahun 2025 mencatatkan pencapaian membanggakan apabila pelaburan pembuatan diluluskan berjumlah RM24.6 bilion menerusi 84 projek, iaitu bilangan projek tertinggi dalam tempoh lima tahun berkenaan.

“Pelaburan itu menjana 14,017 peluang pekerjaan baharu, angka tertinggi dalam tempoh tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Pencapaian Pelaburan Kedah Lima Tahun (2021-2025) dan Sambutan Ulang Tahun Invest Kedah Berhad Ke-20, hari ini.

Sanusi berkata, Kedah turut merekodkan prestasi pelaburan pembuatan tertinggi pada 2021 dengan nilai RM66.2 bilion, seterusnya menyaksikan Kedah mengukuhkan daya tahan ekonomi dalam fasa pemulihan pascapandemik dengan RM12 bilion pada tahun 2022.  

“Pada 2021 sahaja, pelabur dari 20 buah negara telah memulakan operasi di negeri ini. Pada tahun 2023, pelaburan melonjak kepada RM26.8 bilion, seterusnya 2024 menjadi tahun kedua terkuat dengan kira-kira RM44 bilion,” katanya. 

Menurut beliau, kejayaan itu turut didorong keyakinan pelabur dari pelbagai negara termasuk Singapura, Austria, Jepun, Jerman, Amerika Syarikat, China dan Hong Kong yang memilih Kedah sebagai lokasi operasi perniagaan mereka.

Sanusi berkata, Kedah kini berkembang sebagai hab perindustrian strategik dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, peralatan pengangkutan, jentera serta industri bernilai tambah.

Antara perkembangan terbaharu ialah pelaburan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD, memilih Inokom Corporation Sdn. Bhd. berpangkalan di Kulim sebagai rakan pemasangan tempatan bagi operasi pemasangan kenderaannya di Malaysia.

“Sejak dahulu, jenama kenderaan terkemuka seperti Porsche, MINI Cooper dan BMW memilih Kedah sebagai lokasi pemasangan. Kini, pemilihan Inokom oleh BYD menambah satu lagi perkembangan penting kepada industri automotif negeri ini.

“Walaupun hanya aktiviti pemasangan dilakukan di sini, ia tetap memberi rangsangan kepada pembangunan ekonomi dan rakyat negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, Sanusi menegaskan kejayaan menarik pelaburan tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai ringgit yang diluluskan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui sejauh mana projek berkenaan direalisasikan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri mahu memastikan pelaburan yang dibawa masuk mampu menyediakan pekerjaan berkualiti kepada anak Kedah, membawa pemindahan teknologi serta mewujudkan limpahan ekonomi kepada peniaga dan pengusaha tempatan.

“Kita tidak mahu melihat kejayaan ini hanya sebagai satu angka besar. Nilai sebenar pelaburan ialah impaknya kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan manfaat ekonomi yang dapat dirasai masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, Kedah mempunyai kelebihan tersendiri dari segi kedudukan strategik kawasan perindustrian, jaringan logistik, ekosistem industri yang semakin kukuh serta tenaga kerja yang berpotensi untuk terus dibangunkan.

Bagaimanapun, katanya, persaingan menarik pelaburan semakin mencabar apabila pelabur turut menilai kesiapsiagaan infrastruktur, ketersediaan utiliti, tenaga kerja mahir, kestabilan dasar dan kecekapan penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus beri perhatian kepada usaha mengukuh ekosistem pelaburan di Kedah, supaya setiap projek yang dirancang dapat dilaksana dengan teratur. 

“Kerjasama antara negeri, agensi persekutuan, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, pemaju kawasan industri, serta pemain industri perlu terus dikukuhkan. 

“Yang penting, setiap pihak faham peranan masing-masing, dan bersama mencari penyelesaian apabila timbul isu berbangkit,” katanya.

Sanusi berkata, Kedah perlu terus membina reputasi bukan sahaja sebagai negeri yang menawarkan lokasi dan ekosistem industri yang baik, malah mampu memberikan keyakinan kepada pelabur menerusi penyampaian perkhidmatan yang cekap, jelas dan responsif.

Post a Comment

0 Comments