DIIKTIRAF TEMPAT KEEMPAT PULAU TERBAIK ASIA
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Langkawi terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia apabila dinobatkan sebagai Pulau Terbaik di Malaysia 2026, manakala Air Terjun Telaga Tujuh diiktiraf sebagai Air Terjun Terbaik di Malaysia 2026 oleh Malaysia’s Top Ten.
Lebih membanggakan, Langkawi turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila menduduki tempat keempat senarai Pulau Terbaik di Asia menerusi ‘Condé Nast Traveler US Readers’ Choice Awards 2026’, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam kalangan pengembara antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, ketiga-tiga pengiktirafan itu merupakan perkembangan positif buat industri pelancongan Kedah, khususnya Langkawi.
Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan pulau legenda itu mempunyai keistimewaan tersendiri untuk bersaing dengan destinasi pelancongan terkemuka lain di Asia.
“Saya bersyukur dan bangga dengan pengiktirafan terbaharu yang diterima Langkawi.
“Keindahan alam semula jadi, hutan hujan tropika yang berusia jutaan tahun, keunikan ekosistem bakau, pantai yang mempesonakan, kekayaan warisan budaya, kepelbagaian makanan tempatan serta keramahan masyarakat merupakan antara aset utama yang menjadikan Langkawi begitu istimewa,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan terhadap Air Terjun Telaga Tujuh pula membuktikan tarikan pelancongan Langkawi bukan hanya tertumpu pada pantai dan pulau, malah merangkumi khazanah alam semula jadi yang mempunyai nilai ekopelancongan tinggi.
Bagaimanapun, katanya, pengiktirafan itu tidak seharusnya menyebabkan semua pihak berasa selesa, sebaliknya perlu menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, kemudahan infrastruktur, kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar khususnya dalam berdepan persaingan industri pelancongan global yang semakin sengit.
“Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian terhadap usaha memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang berdaya saing dan mampan, selain memastikan manfaat ekonominya dapat dinikmati masyarakat setempat.
“Pengiktirafan ini perlu dimanfaatkan secara lebih agresif dalam aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan, khususnya untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa serta meningkatkan tempoh penginapan dan perbelanjaan mereka di Langkawi,” katanya.
Menurut Mohd Salleh, ukuran sebenar kejayaan industri pelancongan bukan sekadar jumlah pengiktirafan atau kedudukan dalam senarai destinasi terbaik, tetapi sejauh mana pencapaian itu mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
“Langkawi bukan sekadar sebuah pulau yang indah untuk dikunjungi. Ia adalah khazanah alam, warisan dan budaya yang perlu kita pelihara, bangunkan secara bertanggungjawab dan wariskan kepada generasi akan datang.
“Pengiktirafan ini adalah satu kebanggaan, pada masa sama ia merupakan satu amanah untuk kita menjadikan Langkawi lebih baik pada masa hadapan,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penggiat industri pelancongan, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pengusaha hotel dan resort, pengendali produk pelancongan, pemandu pelancong serta masyarakat Langkawi yang menyumbang kepada kejayaan berkenaan.
“Kejayaan Langkawi bukanlah hasil usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya merupakan pencapaian bersama semua pihak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pembangunan industri pelancongan.
“Anda semua memainkan peranan penting dalam membina imej positif pulau ini,” katanya.
Malaysia’s Top Ten merupakan sebuah platform penarafan bebas tempatan yang menerbitkan senarai destinasi dan produk pelancongan berdasarkan kriteria penilaian yang ditetapkan, merangkumi pelbagai kategori, termasuk makanan dan sajian, pelancongan dan penginapan, gaya hidup serta perniagaan dan industri.
Condé Nast Traveler US Readers’ Choice Awards merupakan anugerah tahunan berprestij dalam industri pelancongan antarabangsa yang mengiktiraf destinasi pilihan pembaca berdasarkan pengalaman dan penilaian mereka terhadap pelbagai destinasi di seluruh dunia, dianjurkan majalah pelancongan Condé Nast Traveler dari Amerika Syarikat.
0 Comments