Oleh: Zulkifli Yahaya
Ketua Penerangan PAS Kedah
Assalamu’alaikum Waruhmatullahi Wabarokatuh,
75 tahun adalah tempoh masa yang panjang, bagi sebuah parti politik yang wujud di Malaysia. PAS Kedah akan mengadakan Sambutan 75 Tahun pada 27 & 28 November 2026. Ia adalah perayaan meraikan kejayaan meniti liku-liku perjuangan yang penuh onak duri, sehingga ke tahap yang ada pada hari ini.
Berkat kesabaran, ketabahan dan daya juang yang tidak pernah luntur, oleh para pejuang terdahulu; Alhamdulillah PAS Kedah kini sedang menikmati fasa paling gemilang di Negeri Jelapang Padi ini. Namun, pasti ia tidak akan terhenti di situ sahaja, melainkan akan berterusan sehingga datang ketentuan Ilahi.
Dari aspek siasah, PAS Kedah mencapai kemenangan paling cemerlang pada PRU15 apabila memenangi kesemua 21 kerusi DUN yang disertai. Rakan kerjasama yang bernaung di bawah Perikatan Nasional juga menang besar, sehingga kita (PN) berjaya menang 33 dari 36 kerusi DUN.
PAS Kedah pernah mengalami fasa agak getir apabila sebahagian pemimpin parti ‘terjun kapal’ untuk menyertai parti baharu yang menjadi sekutu DAP. Namun parti serpihan itu ternyata langsung tidak menjadi cabaran kepada PAS. Mereka ke hulu ke hilir mengheret dilema dan kekusutan hala tuju perjuangan. Sebaliknya PAS Kedah terus menggilap kekuatan.
Tidak terhad kepada aspek siasah, PAS Kedah terus cemerlang menangani hal ehwal kebajikan rakyat. Golongan terpinggir, daif dan memerlukan bantuan tidak terlepas dari disantuni anggota PAS. Setiap kali berlaku kemalangan atau bencana alam, maka amilin PAS dari Jabatan Amal, Khidmat Malaysia, Ameerah dan lain-lain sentiasa berada di medan menghulurkan bantuan.
Dalam aspek tarbiyyah, PAS Kedah memiliki ratusan institusi pendidikan seperti PASTI, SRITI, SMITI, kolej dan Maahad Tahfiz. Sewaktu pihak tertentu ghairah mewujudkan kem latihan cybertrooper untuk menyebarkan propaganda dan mengelirukan pemikiran rakyat; PAS Kedah menjadikan semua institusi Pendidikan di bawah naungannya sebagai kilang paling produktif dalam melahirkan generasi Rabbani. Generasi yang kenal Allah, Rasul serta tanggungjawab besar terhadap pembangunan rohani dan jasmani ummah berteraskan Islam.
Hari ini PAS Kedah wujud di setiap lorong, taman dan kampung. Tiada lokaliti yang tiada orang PAS di Kedah. Bahkan PAS sangat dekat dan hadir dalam hati sanubari majoriti rakyat Kedah.
Sambil memanjat kesyukuran kepada Allah SWT dengan tahap pencapaian PAS Kedah, marilah kita sama-sama hadir meraikan detik penting Sambutan 75 Tahun PAS Kedah pada 27 dan 28 November nanti, di Kompleks PAS Kedah.
“Mewarisi Perjuangan, Meneruskan Kebangkitan”

0 Comments