LANGKAWI-KUALA PERLIS RINTIS PERKHIDMATAN FERI ELEKTRIK PERTAMA MALAYSIA

 

Oleh: Roslinda Hashim 

PUTRAJAYA - Langkawi bakal menjadi lokasi pelaksanaan feri penumpang elektrik sepenuhnya yang pertama dalam negara.

Projek perintis yang beroperasi secara komersial merentasi laut terbuka itu merupakan kerjasama antara Yinson GreenTech (YGT) dan Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB).

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara perniagaan elektrifikasi marin YGT, marinEV dan LPSB bagi merangka kerjasama pelaksanaan feri elektrik, bagi laluan antara Kuah, Langkawi dan Kuala Perlis.

Majlis menandatangani MoU antara Pengarah Urusan marinEV, Jan-Viggo Johansen dan Pengurus Besar LPSB, Muhd Nasir Abdul Aziz, disaksikan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, hari ini.

Menerusi kerjasama itu, YGT akan membekalkan kapal melalui perjanjian carter, manakala LPSB bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan tersebut selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) membangunkan infrastruktur kuasa serta pengecasan.

“Projek ini menggabungkan keupayaan marinEV dalam pembangunan dan integrasi kapal elektrik, pengalaman LPSB dalam operasi maritim serta pelabuhan tempatan dan kepakaran TNB dalam infrastruktur tenaga.

“Ia turut disokong infrastruktur pengecasan di darat serta teknologi marin bersepadu. Malah membuka ruang kepada pembangunan ekosistem pengangkutan maritim elektrik meliputi kapal, kemudahan pengecasan serta teknologi digital,” menurut kenyataan dikeluarkan YGT.

Menurut kenyataan itu, feri berkenaan dibangunkan berasaskan platform Hydroferry marinEV bagi pengangkutan penumpang elektrik sepenuhnya, dilengkapi sistem pendorongan elektrik, storan tenaga atas kapal dan teknologi digital marinEV.

Ia turut mempunyai keupayaan autonomi serta kawalan jarak jauh yang dibangunkan oleh Zeabuz, sekali gus menggabungkan teknologi elektrifikasi kapal, pengecasan di darat dan teknologi  digital dalam operasi pengangkutan penumpang harian.

Muhd Nasir berkata, pihaknya berbesar hati menyokong projek berkenaan yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah penyediaan perkhidmatan feri lebih bersih dan boleh dipercayai.

“Dengan membawa ketersambungan feri yang lebih bersih dan boleh dipercayai ke laluan Langkawi-Kuala Perlis, kerjasama ini memberi manfaat kepada komuniti tempatan, sektor pelancongan serta agenda elektrifikasi maritim negara yang lebih luas,” katanya.

Sementara, Jan-Viggo berkata, projek berkenaan mengembangkan pengalaman marinEV membangunkan dan mengendalikan kapal elektrik di Singapura kepada sektor pengangkutan penumpang di Malaysia.

“Pendekatan kami melangkaui sekadar membuktikan kapal elektrik mampu berfungsi, kami mahu membangunkan penyelesaian yang benar-benar boleh diharap dalam operasi komersial harian.

“Projek ini menyatukan kapal, infrastruktur pengecasan, teknologi digital dan model operasi yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.

“Fokus kami adalah membangunkan penyelesaian praktikal dan berskala yang mampu memberi pengalaman operasi bernilai bagi penggunaan pengangkutan maritim elektrik secara lebih meluas,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan Hydroferry memperluaskan portfolio kapal elektriknya ke segmen pengangkutan penumpang selepas pembangunan kapal kargo Hydromover dan platform pemindahan kru Hydroglyder, yang telah memasuki fasa operasi komersial di Singapura.

Kerjasama itu turut mendapat sokongan pihak berkepentingan utama kerajaan dan industri termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan serta Jabatan Laut Malaysia, selepas projek itu dimandatkan sebagai Projek Keutamaan Negara.

Kesemua pihak akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan, penyedia infrastruktur dan pihak berkepentingan lain bagi memperhalusi keperluan teknikal, operasi, kawal selia dan komersial sebelum pelaksanaan projek.

Projek itu selaras dengan usaha peralihan tenaga dan penyahkarbonan sektor maritim negara, termasuk sasaran penembusan bahan api hijau sebanyak 40 peratus dalam sektor pengangkutan marin menjelang 2050 dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Post a Comment

0 Comments