TABUNG TUNKU MAHMUD SALUR RM9.31 JUTA SEJAK 2023

 

MANFAATKAN 6,440 MAHASISWA KEDAH 


Oleh: Roslinda Hashim 


ALOR SETAR - Seramai 6,440 mahasiswa anak Kedah daripada anak yatim, yatim piatu, asnaf miskin dan fakir miskin menerima bantuan pendidikan menerusi Tabung Tunku Mahmud sejak diperkenalkan semula pada 2023 hingga 2 September lalu.


Berdasarkan data dikeluarkan Pejabat Kewangan Negeri Kedah, bantuan berjumlah RM9.31 juta itu disalurkan bagi membantu meringankan beban mahasiswa terbabit dalam melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta.


Jumlah penerima menunjukkan peningkatan setiap tahun dengan 1,107 mahasiswa menerima bantuan berjumlah RM2.04 juta pada 2023, diikuti seramai 1,827 penerima (RM2.79 juta) pada 2024.


Pada 2025 pula, seramai 2,767 mahasiswa menerima bantuan berjumlah RM3.47 juta, manakala sehingga 2 September lalu, membabitkan 739 penerima menerima RM1,001,200.


“Jumlah keseluruhan setakat September 2026 ialah 6,440 penerima dengan nilai pembayaran RM9,319,674.10. Masih terdapat permohonan yang sedang diproses dan rekod akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.


Tabung Tunku Mahmud merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Kedah yang menawarkan bantuan pengajian kepada anak-anak Kedah yang memenuhi kriteria ditetapkan, khususnya daripada keluarga yang memerlukan sokongan bagi meneruskan pengajian.


Pemohon boleh menyediakan surat permohonan berserta dokumen sokongan seperti salinan surat tawaran universiti, kad pengenalan, pengesahan pendapatan waris dan salinan sijil kematian waris jika berkenaan.


Permohonan yang lengkap boleh dihantar ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.


Dalam pada itu, Tabung Tunku Mahmud menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM9.71 juta sejak 2023 hingga 2 September 2026.


Berdasarkan rekod sumbangan, sebanyak RM2.8 juta diterima pada 2023, diikuti RM3.46 juta pada 2024 dan RM2.88 juta pada 2025.


Bagi tahun ini pula, tabung berkenaan menerima sumbangan sebanyak RM568,341 setakat 2 September lalu.


Secara keseluruhannya, jumlah sumbangan yang diterima sepanjang tempoh berkenaan adalah RM9,713,771.44.


Orang ramai dan pihak korporat dialu-alukan untuk menyumbang kepada Tabung Tunku Mahmud bagi membantu lebih ramai anak Kedah melanjutkan pengajian.


Sumbangan boleh dibuat dalam pelbagai bentuk termasuk potongan bulanan, sumbangan korporat mahupun sumbangan individu.


Tidak kira besar atau kecil, setiap sumbangan amat bermakna dalam membantu pembangunan pendidikan anak-anak Kedah dan membuka ruang kepada mereka mengejar cita-cita demi masa depan diri serta keluarga.


Maklumat dan saluran sumbangan boleh diperoleh menerusi portal rasmi Tabung Tunku Mahmud, di pautan ini: https://tabungtunkumahmud.kedah.gov.my/


Terima kasih kepada semua penyumbang atas keprihatinan dan sokongan berterusan demi kesejahteraan rakyat Kedah.


Tabung Tunku Mahmud ini diwujudkan pada 1 Mei 2008, yang diilhamkan oleh Menteri Besar Kedah pada ketika itu, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. 


Pada 2023, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaktifkan semula tabung berkenaan bagi membantu kebajikan pendidikan anak Kedah.


“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


“Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Orang Kaya Berbakti”

Post a Comment

0 Comments