PASAR KAMPUNG BERJAYA ‘BERWAJAH BAHARU’ SELEPAS LEBIH 30 TAHUN

 


“95 PERATUS SIAP DINAIK TARAF”

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pasar Awam Kampung Berjaya yang tidak pernah dinaik taraf sejak lebih 30 tahun lalu bakal ‘berwajah baharu’ apabila kemajuan fizikal projek menaik taraf mencapai 95 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani berkata, projek bernilai RM458,400 itu dijangka siap sepenuhnya 8 Oktober ini, selepas dilaksanakan selama 12 minggu bermula 16 Julai lalu.

Menurutnya, kerja-kerja akhir kini sedang dilaksanakan bagi menyiapkan fasa pertama projek berkenaan yang bertujuan memberikan keceriaan kepada bangunan pasar selain meningkatkan keselesaan peniaga dan pengunjung.

“Ini antara usaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menaik taraf pasar ini. Kita dapat lihat kemajuan telah capai 95 peratus dan tinggal sedikit lagi kerja-kerja kemasan untuk menyiapkan fasa pertama.

“Selepas lebih 30 tahun, akhirnya kita berjaya dapatkan peruntukan dan menyiapkan wajah baharu Pasar Kampung Berjaya,” katanya ketika melakukan lawatan ke tapak pembangunan Pasar Kampung Berjaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya.

Dzowahir berkata, projek itu merangkumi sembilan komponen utama termasuk penggantian bumbung, mengecat semula pasar, pemasangan papan tanda, meroboh dan membina semula meja bahagian sayur serta pembinaan sembilan unit kedai baharu.

Kerja-kerja lain turut melibatkan pembaikan jubin meja dan lantai pasar, penandaan meja serta pembaikan longkang.

“Sebelum ini terdapat 81 meja, jumlah itu dikurangkan kepada 75 bagi memberikan lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung, selain memastikan aspek kebersihan lebih mudah dijaga.

“Kita bukan mengurangkan peniaga, MBAS turut menyediakan khemah tambahan di luar bangunan pasar bagi menampung peniaga, jadi ruang niaga yang disediakan sebenarnya lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, peniaga asal juga akan terus diberikan ruang niaga mengikut peruntukan yang diterima sebelum ini dan tiada isu berhubung penempatan mereka.

Menurut Dzowahir, fasa kedua melibatkan kemudahan asas dan persekitaran pasar juga dalam perancangan MBAS, namun pelaksanaannya bergantung kepada peruntukan tambahan yang diusahakan.

“Jika buat sekaligus, memerlukan peruntukan besar. Jadi, kita laksanakan dahulu mengikut peruntukan sedia ada. MBAS sedang usahakan peruntukan tambahan untuk menaik taraf keseluruhan kawasan sekitar pasar ini.

“Mudah-mudahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat menyalurkan lebih peruntukan bagi memastikan keseluruhan kawasan dapat dinaik taraf,” katanya.

Dzowahir turut meminta peniaga agar bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran pasar selepas kerja-kerja naik taraf selesai bagi memastikan kawasan berkenaan kekal bersih, selesa dan menarik kepada pengunjung.

Katanya, persekitaran bersih bukan sahaja memberi keselesaan, malah mampu menarik lebih ramai pengunjung sekali gus membantu meningkatkan pendapatan peniaga dan ekonomi masyarakat setempat.

“Bila kawasan bersih, ramai datang dan ini memberikan pulangan kepada peniaga. Kebersihan amat penting dan ia selaras dengan hasrat MBAS menjadikan bandar raya ini sebagai bandar terbersih dalam negara.

“Persekitaran bersih dan selesa juga menjadi tarikan pelancong selain merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, Abdul Gafar memaklumkan, Pasar Awam Kampung Berjaya sebelum ini berdepan beberapa isu termasuk keadaan bangunan uzur, susun atur kurang menarik, bumbung asbestos kerap rosak, tahap kebersihan rendah serta kemudahan yang kurang sempurna.

Selain itu, aras lantai antara zon sayur dan ikan tidak sekata, manakala pencahayaan dalam kawasan pasar juga didapati tidak mencukupi.

“Pasar ini turut menempatkan ruang niaga gantian bagi peniaga Pasar Kuala Sungai yang terlibat dengan projek pelebaran Jalan Persekutuan laluan Alor Setar-Kangar.

“Pasar Pagi Kampung Berjaya pula menempatkan 31 peniaga makanan Melayu dan tujuh peniaga makanan Cina, juga akan dilakukan penyusunan dan penempatan semula November depan bagi memastikan tapak niaga lebih teratur, seiring dengan penambahbaikan Pasar Kampung Berjaya,” katanya.

Tambah beliau, bagi Pasar Karat Kampung Berjaya yang beroperasi setiap Jumaat, 600 tapak disediakan dengan kira-kira 450 tapak aktif dengan kutipan hasil tapak antara RM1,700 hingga RM2,000.

Bagaimanapun, tarikan pengunjung ke lokasi itu dilaporkan berkurangan susulan kelewatan projek Jambatan Manjalara bersebelahan pasar tersebut, selain keperluan kawalan lalu lintas di kawasan berdekatan.

Post a Comment

0 Comments