JANGAN BIARKAN ISU VIDEO CCTV MENUTUP ISU SEBENAR KESELAMATAN SEMPADAN NEGARA

 

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Oleh: Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Penularan rakaman CCTV yang melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Namun bagi Pemuda PAS Malaysia, perhatian rakyat tidak seharusnya terhenti pada beberapa saat rakaman yang tular itu semata-mata.

Ada persoalan yang jauh lebih besar dan lebih serius yang perlu diberikan perhatian.

Berdasarkan penjelasan AKPS, kejadian tersebut berlaku pada 28 September ketika satu operasi penguatkuasaan dijalankan terhadap seorang warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan “ulat” di KLIA. Dalam proses berkenaan, timbul pula persoalan mengenai individu yang bukan sebahagian daripada pasukan operasi yang berada di lokasi dan merakam kejadian tersebut.

Perkara ini kini berada dalam siasatan pihak berkuasa. Maka kita tidak mahu mendahului siasatan atau menghukum mana-mana pihak.

Tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh menutup mata terhadap persoalan lebih besar tentang tahap keselamatan, integriti dan kemungkinan berlakunya kebocoran dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara.

AKPS sendiri sebelum ini mendedahkan peningkatan tindakan terhadap kegiatan penyeludupan. Setakat tahun ini, nilai rampasan dan ketirisan hasil kerajaan yang berjaya ditangani AKPS dilaporkan telah melebihi RM265 juta, berbanding RM80 juta pada tahun sebelumnya. Cubaan penyeludupan dadah melalui lapangan terbang juga dilaporkan dikesan dengan begitu kerap.

Ini bukan angka kecil.

Ia memberi gambaran bahawa ancaman terhadap pintu masuk dan sempadan negara adalah sesuatu yang perlu dipandang dengan sangat serius.

Sebab itu Pemuda PAS memberikan sokongan kepada setiap usaha profesional dan berintegriti oleh AKPS serta seluruh agensi penguatkuasaan untuk membersihkan pintu masuk negara daripada kegiatan penyeludupan, rasuah, salah guna kuasa, kemasukan warga asing tanpa dokumen dan apa juga bentuk jenayah rentas sempadan.

Kita juga menghargai ketegasan Datuk Seri Mohd Shuhaily dalam usaha memperkukuhkan penguatkuasaan AKPS. Pada masa yang sama, semua dakwaan berkaitan insiden yang tular mesti disiasat secara bebas, telus dan adil. Tiada sesiapa harus berada di atas undang-undang.

Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan usaha membersihkan pintu masuk negara tidak terhenti hanya kerana satu kontroversi.

Jika terdapat pegawai, orang tengah, sindiket atau mana-mana pihak yang bersekongkol untuk membocorkan operasi, melindungi sindiket, memudahkan penyeludupan atau membawa masuk warga asing secara tidak sah, mereka mesti dikenal pasti, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan berdasarkan undang-undang.

Pemuda PAS melalui Ahli-Ahli Parlimen akan terus membawa persoalan berkaitan keselamatan sempadan dan integriti penguatkuasaan ke Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang.

Kita mahu kerajaan menjelaskan sejauh mana sindiket-sindiket ini telah menembusi sistem penguatkuasaan negara, apakah kelemahan yang masih wujud di pintu masuk antarabangsa dan apakah tindakan menyeluruh yang sedang diambil bagi memastikan anggota penguat kuasa tidak boleh dipengaruhi atau diperalatkan oleh sindiket.

Pemuda PAS juga akan terus mengikuti maklumat, laporan dan pendedahan daripada masyarakat, bekas petugas serta saksi berkaitan sebarang dakwaan salah laku yang boleh mengancam keselamatan negara. Setiap maklumat yang mempunyai asas wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara profesional.

Isu ini lebih besar daripada satu rakaman CCTV.

Ini soal siapa yang menjaga pintu negara kita.

Ini soal integriti institusi.

Dan yang paling utama, ini soal kedaulatan Malaysia.

Jangan kerana kita sibuk melihat beberapa saat rakaman yang tular, kita terlepas pandang apa yang sebenarnya sedang berlaku di belakang pintu masuk negara.

2 OKTOBER 2026 | 20 RABIUL AKHIR 1448H

#PemudaPAS #MemimpinPenyatuan

 

Post a Comment

0 Comments