KEDAH SASAR PELABURAN BERKUALITI, BERNILAI TAMBAH TINGGI

 

“SEDIA MENERIMA GELOMBANG PELABURAN BAHARU”

Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Kedah perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tambah tinggi, selain memastikan projek yang diluluskan benar-benar direalisasikan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perubahan landskap ekonomi global menuntut Kedah bersedia menerima gelombang pelaburan baharu yang berteraskan teknologi hijau, pendigitalan, automasi dan penggunaan tenaga secara cekap.

Menurutnya, pembangunan industri tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan kilang, sebaliknya perlu disokong perancangan menyeluruh merangkumi bekalan elektrik, air, gas, telekomunikasi, jalan raya, logistik, perumahan, tenaga kerja serta kemudahan sosial.

“Kedah perlu bersedia menerima gelombang pelaburan yang baharu. Kita bukan sahaja mahu membawa masuk lebih banyak pelaburan, tetapi mahu menarik pelaburan yang berkualiti dan ada nilai tambah yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Pencapaian Pelaburan Kedah Lima Tahun (2021-2025) dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Invest Kedah Berhad, hari ini.

Sanusi berkata, pembangunan industri secara seimbang dan mampan penting bagi memastikan kemudahan serta infrastruktur berkembang seiring dengan pertumbuhan pelaburan, sekali gus memberi manfaat lebih luas kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau mahu Invest Kedah Berhad memperkukuh peranan strategiknya selepas 20 tahun beroperasi, selaras dengan perubahan landskap ekonomi dan persaingan menarik pelaburan.

Katanya, agensi berkenaan perlu terus berusaha menarik pelaburan berkualiti, mengekalkan keyakinan pelabur sedia ada dan memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan.

“Kita mahu pelabur yang datang ke Kedah ada keyakinan bahawa Kerajaan Negeri dan agensi-agensi sedia membantu,” katanya.

Tambah Sanusi, Invest Kedah perlu terus berkembang sebagai organisasi yang profesional, pantas, responsif dan berpandangan jauh, selain memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju pembangunan pelaburan negeri.

“Dua dekad pertama telah membina asas kepada Invest Kedah. Dua dekad seterusnya perlu membawa organisasi ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Invest Kedah Berhad ditubuhkan pada 2006 sebagai syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang berperanan sebagai agensi promosi pelaburan rasmi dan pintu masuk utama pelaburan ke Kedah.

Pada majlis sama, Sanusi melancarkan buku Pencapaian Pelaburan Kedah Lima Tahun (2021-2025) sebagai dokumentasi rasmi perkembangan, pencapaian dan landskap pelaburan serta perindustrian negeri sepanjang tempoh lima tahun.

Beliau berkata, penerbitan itu bukan sekadar menghimpunkan angka dan statistik, sebaliknya menjadi rekod kemajuan Kedah serta rujukan untuk menilai kekuatan yang telah dibina dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.

“Buku tersebut merangkumi prestasi pelaburan tahunan, analisis aliran pelaburan, prestasi kawasan perindustrian, pecahan pelaburan asing dan domestik, penciptaan pekerjaan serta profil projek utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Sanusi tegaskan, pencapaian yang direkodkan perlu dijadikan asas untuk menetapkan aspirasi lebih besar kerana kelebihan yang menjadikan Kedah kompetitif hari ini belum tentu mencukupi untuk menghadapi cabaran lima hingga 10 tahun akan datang.

“Kita bangga dengan pencapaian yang dicatatkan, tetapi kita tidak boleh terlalu selesa. Landskap ekonomi dan pelaburan sentiasa berubah. 

“Kerajaan Negeri akan terus beri sokongan, menarik pelaburan berkualiti, merealisasikan projek yang telah diluluskan, memastikan pembangunan ekonomi memberi manfaat seluas-luasnya kepada rakyat. 

“Dengan kerjasama erat semua pihak, kita akan terus mengukuhkan Kedah sebagai negeri yang kompetitif, mesra pelabur, dan mempunyai masa depan ekonomi yang kukuh,” katanya.

Post a Comment

0 Comments