PENYATUAN UMMAH DEMI PRU-16: PENGORBANAN BESAR DEMI MASA DEPAN POLITIK MELAYU-ISLAM

 

KENYATAAN MEDIA

TIMBALAN KETUA PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Oleh: Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim

Timbalan Ketua

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor


1. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyambut baik dan menyokong penuh usul 'Memperkasa Agenda Penyatuan Ummah ke Arah Pengukuhan Kekuatan Politik Melayu-Islam dan Kestabilan Negara' yang dibawa oleh Dewan Ulamak PAS Pusat, telah dibahas dan diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 hari ini. 


2. Ketetapan ini bukan sekadar strategi pilihan raya, sebaliknya ia adalah satu kewajipan demi menjamin kelangsungan agama, bangsa, dan tanah air.


3. Apabila kita berbicara tentang naskhah penyatuan, hakikat yang tidak boleh kita elakkan adalah keperluan untuk berkorban. Penyatuan menuntut kita untuk berlapang dada dan melepaskan kepentingan peribadi mahupun kelompok. Pengorbanan ego, emosi, dan perbezaan ini sememangnya suatu perkara yang besar dan berat. Namun, ia adalah harga yang wajib kita bayar demi mempertahankan serta memperkukuh kuasa politik Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-16. 


4. Tanpa pengorbanan ini, penyatuan hanya akan tinggal sekadar slogan kosong. Kita wajib belajar dan mengambil iktibar daripada sejarah. Sejarah Tanah Melayu sendiri telah merakamkan bahawa apabila tiba saat-saat genting yang menyentuh soal masa depan dan kelangsungan bangsa, masyarakat Melayu sentiasa mampu meminggirkan perbezaan pandangan untuk duduk semeja.


5. Hal ini terbukti secara jelas melalui kebangkitan umat Melayu menentang gagasan Malayan Union pada tahun 1946. Peristiwa bersejarah tersebut berjaya menghimpunkan puluhan pertubuhan, persatuan, dan kelompok Melayu dari pelbagai latar belakang dan fahaman. Mereka bersatu hati dan bergerak di atas satu platform yang sama kerana satu prinsip asas yang dikongsi bersama, wujud sebuah matlamat agama dan bangsa yang jauh lebih besar berbanding kelangsungan organisasi masing-masing.


6. Justeru, Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru seluruh anggota parti, anak muda, dan setiap umat Islam di luar sana untuk menghayati semangat Kongres Melayu 1946 ini. Menjelang PRU-16, ayuh kita ketepikan segala titik bengik perbezaan, bina semula jambatan ukhuwah, dan rapatkan saf perjuangan. Kuasa politik Melayu-Islam ini terlalu mahal nilainya untuk dibiarkan lebur akibat perpecahan sesama kita.


Takbir!

Siru 'ala barakatillah.

Post a Comment

0 Comments