DAP DILABEL SEBAGAI HIPOKRIT

 

“GESA PEMIMPIN DAP PERJELAS ISU DIBANGKITKAN”

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - DAP dilabel sebagai parti hipokrit kerana membangkitkan semula isu 47 pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selepas sebelum ini memilih untuk bersama dalam Kerajaan Persekutuan yang turut dianggotai UMNO.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari berkata, DAP seolah-olah meletakkan garis pemisah antara isu pembentukan kerajaan dengan pendirian mereka berkaitan integriti.

Menurutnya, pendirian DAP itu tidak selari dengan pendirian mereka ketika pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika semasa Ahmad Zahid masih belum dilepaskan daripada kes mahkamah, DAP boleh membela beliau dan memilih untuk bersama dalam satu kerajaan, bagaimana pula setelah beliau kini dilepaskan oleh mahkamah?” katanya.

Menurutnya, laporan media bertarikh 21 Februari 2023 melaporkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer telah membela Ahmad Zahid dengan menyatakan prinsip ‘dia tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah’ semasa menjawab soalan Ahli Parlimen PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen.

“Ramkarpal Singh pula dipetik menyebut ‘DAP telah menyuarakan kebimbangan serius berhubung kes Ahmad Zahid sejurus selepas Mahkamah Tinggi memberikan perintah DNAA’.

“Tetapi DAP masih memilih berada dalam Kerajaan Persekutuan sebelum dan selepas pendakwaan menarik balik kes terhadap Ahmad Zahid,” jelasnya.

Sebelum ini, Ramkarpal dilaporkan berkata, Mardhiyyah berkemungkinan merujuk kepada gesaan berterusan Rayer dan Pemuda DAP baru-baru ini supaya Peguam Negara menilai semula keputusan membabitkan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Rayer mempersoalkan mengapa pendakwaan terhadap Ahmad Zahid dihentikan ketika kerajaan meningkatkan usaha membanteras rasuah, selain berkata piawaian sama perlu dikenakan sama ada terhadap sekutu politik dan pembangkang.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, 4 September lalu, Mardhiyyah yang juga Ketua Ameerah Malaysia berkata, DAP bersikap hipokrit berhubung isu pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

“Semasa mereka nak bentuk kerajaan dengan sokongan UMNO, perkara ini (47 pertuduhan berkaitan Ahmad Zahid) tidak berbangkit. Sekarang ini depa kalut… Ini bukan reformasi tetapi hipokrasi,” katanya.

Mardhiyyah turut menyatakan sokongan terhadap ucapan dasar Presiden PAS, yang antaranya menyatakan PH menggunakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terpilih ke atas musuh politik mereka.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Sept 2023 sudah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, Mardhiyyah menggesa pemimpin DAP supaya memberi respons berhubung Biasiswa Undang-undang Karpal Singh, yang dibangkitkannya sebelum ini.

Katanya, persoalan utama adalah bagaimana biasiswa dikendalikan sebuah parti politik boleh dipaparkan di laman sesawang rasmi Kementerian Digital.

“Jika DAP mahu respon terhadap ucapan saya, saya lebih suka jika mana-mana pemimpin DAP respon isu pemberian biasiswa undang-undang daripada DAP, iaitu Biasiswa Karpal Singh disiarkan di laman web rasmi kerajaan.

“Bagaimana pemberian biasiswa daripada parti politik boleh disiarkan di laman rasmi Kerajaan Persekutuan?” soalnya.

Beliau berkata, isu tersebut bukan bermaksud dirinya menolak bantuan kepada pelajar, sebaliknya mempersoalkan kedudukan dan pengendalian biasiswa berkenaan.

“Disebut, seorang Karpal Singh mati, akan lahir lagi 100 Karpal. Itu usaha mereka di lapangan kritikal ini.

“PAS tak mampu bagi biasiswa, tapi kita mampu beri peguam-peguam muda, pelajar undang-undang yang menyokong PAS ilmu dan pengalaman melalui pendedahan kes-kes mahkamah yang kita hadapi,” katanya.

Dalam pada itu, Mardhiyyah berkata, PAS perlu mengambil pendekatan lebih tersusun untuk melahirkan pelapis peguam muda yang mempunyai kemahiran khususnya berkaitan undang-undang dan Perlembagaan.

“Saya cadangkan PAS Pusat wajibkan penglibatan peguam PAS dalam kes perlembagaan atau kes yang terkait secara langsung dengan perjuangan kita, jika bukan sebagai peguam yang mengendalikan kes, mesti dilibatkan dan diberi peranan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa PAS supaya terus konsisten membawa suara golongan bawahan dan pertengahan, terutama dalam mengisi ruang yang dilihat masih belum diberi perhatian secukupnya.

“Jangan dilupa golongan pertengahan yang jarang dipeduli oleh mana-mana parti politik. PAS perlu menjadi suara rakyat bawahan dan pertengahan, ini sebagai tanda kesiapsiagaan kita mengambil alih Putrajaya,” katanya.

Mardhiyyah turut tegaskan PAS mengambil pendekatan berbeza dan menghormati keputusan mahkamah walaupun keputusan berkenaan tidak memihak kepada parti.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung keabsahan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan 2019 yang dicabar seorang peguam, Nik Elin Nik Abdul Rashid, selain isu pembatalan lesen premis judi di Kedah.

Katanya, sepanjang 75 tahun penubuhan PAS, parti itu memilih saluran demokrasi dan pilihan raya untuk melaksanakan agenda perjuangannya.

“Apabila mahkamah membuat keputusan, kita akur. Tiada rusuhan, tiada angkat senjata, tiada demonstrasi jalanan. Kita tidak sama dengan DAP,” katanya.

Beliau berkata, pendirian itu menjadi amalan PAS walaupun parti itu memiliki jumlah kerusi yang besar di Dewan Rakyat, pernah berada dalam Kerajaan Pusat dan kini mentadbir empat negeri.

Mardhiyyah yang dinobatkan Pembahas Terbaik Muktamar PAS Ke-72 berkata, pendirian PAS membuktikan parti itu tidak wajar dilabel sebagai parti ekstrem, sebaliknya sentiasa menghormati saluran demokrasi dan institusi kehakiman.

Post a Comment

0 Comments