Oleh: Ku Azizah Ku Hamid
GURUN - Masalah kesihatan dan kesukaran hidup yang membelenggu keluarga bukan alasan untuk anak-anak B40 tercicir dalam pendidikan, sebaliknya mereka perlu terus dibimbing sehingga mampu mengubah nasib keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pendidikan menjadi antara pendekatan utama Kerajaan Negeri menerusi program 'The Pearl of Kedah' bagi memperkasa potensi anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurut beliau, semangat anak-anak serta ibu bapa untuk meneruskan pendidikan amat tinggi meskipun sebahagian keluarga terbabit sedang berdepan ujian kesihatan dan kesukaran hidup.
“Walaupun ada keluarga yang diuji dengan masalah kesihatan dan kesukaran hidup, saya melihat anak-anak serta ibu bapa mereka mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar dan meneruskan pendidikan.
“Kita sentiasa menasihati mereka supaya belajar bersungguh-sungguh, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk ke universiti agar dapat mengubah taraf hidup keluarga pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ziarah bersama ADUN Gurun, Baddrol Bakhtiar ke beberapa keluarga peserta 'The Pearl of Kedah' di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.
Antara peserta yang diziarahi ialah Mohd Izzul Wafiy Badrul Nazim di Kampung Sungai Badak; Iman Sumaiyah Khairol Shazwari di Taman Gurun Jaya yang ibunya baru menjalani pembedahan; Nur Rifran Ajlaa Mohamad Aliff di Taman Seri Jerai serta Shazleen Airish Shamsuri di Kampung Batu 8, Jalan Jeniang yang ibunya kini berkerusi roda akibat kemalangan.
Siti Ashah berkata, golongan terbabit memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak supaya mereka terus mempunyai kekuatan untuk membimbing anak-anak mencapai kejayaan dalam pendidikan.
“Dengan ilmu dan pendidikan yang baik, anak-anak ini mempunyai peluang membina masa depan lebih cemerlang dan seterusnya kembali membantu keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

0 Comments