Oleh: Roslinda Hashim
KOTA BHARU - Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegur PAS Perlis supaya menghentikan perselisihan dalaman dan tidak lagi berkelahi sesama sendiri.
Beliau berkata, teguran telah disampaikan kepada PAS Perlis sejak tahun lalu, namun perselisihan tetap berlaku sehingga berlarutan dan menjadi serius, sehingga menyaksikan parti itu kehilangan jawatan menteri besar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kawasan yang telah menang, saya pesan dah tahun lepas. Pesanan saya tahun lepas, lepas pesan pun berlaku lagi. Saya cakap orang Perlis jangan berkelahi.
“Balik terus kelahi teruk sampai sekarang,” katanya ketika penggulungan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini.
Bagaimanapun, Sanusi berharap konflik tersebut sudah berakhir selepas ini dan semua pihak kembali berdamai demi kepentingan parti.
“Insya-Allah, lepas ini tak kelahi dah. Cukuplah setakat itu,” katanya.
Dalam nada berseloroh tetapi tegas, Sanusi menyifatkan pihak terbabit sebagai ‘ketegaq’ kerana terus melakukan perkara yang telah pun dilarang.
“Hangpa (kamu semua) ini ketegaq (degil). Yang orang larang, itu hangpa buat dulu,” katanya.
Sanusi turut memberi gambaran tidak mahu lagi mencampuri krisis sekiranya masih berulang selepas ini setelah pelbagai usaha dilakukan untuk meredakan perselisihan.
“Selepas ini tak ada siapa dah nak pi berubat. Hangpa berubatlah diri hangpa sendiri. Habis dah ikhtiar. Habis dos paling tinggi dah cucuk. Tak lega juga. Biar panah lintar lah,” katanya.
Pada Khamis, seorang perwakilan Pemuda PAS Perlis menggesa pucuk pimpinan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan tindakan tegas terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Ali Na’imi Ahmad Azizi mendakwa Abu Bakar mencalarkan imej PAS dan PN Perlis, selain menyatakan ADUN PAS di negeri itu dilayan seperti wakil pembangkang.
Abu Bakar kemudian menafikan tuduhan tersebut, dan menegaskan hubungannya dengan pemimpin PAS Perlis kekal baik dan tidak menolak kemungkinan isu dibangkitkan hanya membabitkan individu yang menyokong bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Pada 22 Disember 2025, kemelut politik Perlis memuncak apabila lapan ADUN PN menarik sokongan terhadap Mohd Shukri dengan mengemukakan akuan bersumpah (SD) kepada pihak Istana. Lapan ADUN itu terdiri daripada lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN PAS.
Mohd Shukri kemudian mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan pada 25 Disember 2025.
Seterusnya Abu Bakar Hamzah (ADUN Kuala Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis) mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis baharu, menandakan peralihan jawatan Menteri Besar Perlis berpindah daripada PAS kepada Bersatu.
PAS akhirnya mengambil tindakan terhadap tiga ADUN PAS yang menarik sokongan terhadap Mohd Shukri dengan menamatkan keahlian mereka.
Sejak itu, hubungan PAS dan Bersatu semakin keruh sehingga kemuncaknya PAS menamatkan kerjasama politiknya dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

0 Comments