PRU16: PAS TAK MAHU LAGI LEPASKAN KERUSI BOLEH MENANG

 

“JANGAN LAGI BERASA KERDIL, RUGIKAN PARTI”

Oleh: Roslinda Hashim

KOTA BHARU - PAS tidak mahu lagi melepaskan kerusi yang berpotensi dimenangi parti itu kepada  parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sebaliknya akan menentukan kerusi ‘winnable’ berdasarkan kemampuan untuk menang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penentuan kerusi ditandingi juga akan dibuat menerusi panduan daripada pimpinan PAS di peringkat negeri-negeri.

“Kita akan tentukan kerusi mana patut kita tandingi, yang boleh dimenangi PAS. Kita jangan lepas dah kerusi itu pada siapa-siapa pun.

“Kerusi yang kita boleh menang bagi pada orang (parti lain), yang nak kalah kita ambil. Itu yang kata ikhlas dengan bodoh. 

“Ikhlas dengan bodoh, dekat sangat jaraknya, senipis kulit bawang. Jangan ambil yang bodoh, ambil yang ikhlas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini.

Menurut Sanusi, PAS perlu lebih yakin dengan kekuatan parti sendiri khususnya dalam soal pembahagian kerusi antara rakan-rakan pakatan menjelang pilihan raya akan datang.

“Berbicara terus terang. Jangan lepaskan lagi kerusi winnable. Rugi (kita) bagi semua (kerusi itu) pada orang. Masa runding, rasa kerdil. Selepas itu menyesal. Berhentilah buat kerja begitu,” katanya.

Menurut Sanusi, PAS perlu menghentikan sikap berasa rendah diri terhadap parti lain, khususnya apabila parti itu mempunyai kekuatan dan pengalaman jauh lebih lama.

“Dilarang tawaduk kepada orang yang tidak tawaduk. Ini masalah orang PAS. Dia berasa kerdil. Dilarang berasa kerdil kepada orang yang merasa dirinya besar. 

“PAS sudah jadi parti gajah. Tiba-tiba lalu kucing, bawa anak dua tiga ekor, kita takut. Jangan ikut kucing itu. Dia pun baru nak hidup. Dia baru tubuh parti dua hari, lepas itu datang ajar kita. Lepas itu kita turut dia. Tak betul itu,” katanya.

Beliau turut memberi amaran mengenai risiko PAS kehilangan kekuatan sekiranya terlalu banyak memberikan ruang kepada parti lain sehingga akhirnya ahli dan jenteranya berpindah kepada parti berkenaan.

“Dah tak ada orang, ambil orang kita. Orang kita pergi kepada dia, kita seronok. Lepas itu parti dia besar, parti kita kecil. Dia jadi calon, kita jadi jentera. 

“Habis sudah waktu berasa kerdil kepada orang yang datang menumpang kita. Bilik tidur kita, kita bagi dia tidur, kita tidur ruang tamu. Banyak cantik.

“Orang yang ada masalah pun mari pada kita. Mereka nak cari ubat, suruh kita hembus. Kita tolonglah, bila sudah sihat. Jangan naik atas kepala kita pula. Lama dah PAS 75 tahun, takut dengan parti dua hari pasal apa?” katanya.

Tegasnya, PAS sebuah parti yang besar dan tidak seharusnya terlalu tunduk kepada parti yang lebih kecil atau baharu.

Sanusi berkata, PAS perlu mempelajari pendekatan baharu untuk bekerja bersama jentera parti lain sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pengalaman itu akan diuji menerusi pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang dijangka menjadi medan penting untuk PAS memperkemas strategi sebelum PRU16.

“Di Johor tak boleh masuk langsung. Di Negeri Sembilan boleh masuk sikit-sikit. Di Melaka, insya-Allah kita akan belajar bekerja dalam pilihan raya bersama-sama jentera parti lain.

“Masalah sebelum ini, kita bukan tak boleh bekerja dengan jentera parti lain. Parti lain itu tak ada jentera. Insya-Allah dalam kerjasama akan datang, sama-sama ada jentera,” katanya.

Beliau berkata, PAS juga perlu menyesuaikan cara kerja dengan budaya dan pendekatan parti lain kerana kerjasama politik memerlukan kemahiran berbeza.

“Kena belajar bagaimana nak bekerja dengan jentera parti lain. Ini kemahiran yang perlu dilatih semula. Kita kerja dengan cara kita, budaya kita, stail kita. Mereka dengan cara mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, PAS mempunyai kira-kira 300 hari untuk memperkemas persiapan menghadapi PRU16 yang disifatkannya bakal menentukan hala tuju negara ini.

Katanya, persiapan pilihan raya tidak seharusnya dimulakan selepas Parlimen dibubarkan, sebaliknya jentera parti perlu bekerja berterusan bagi mendapatkan sokongan rakyat.

“Kita nak sokongan ramai. Terus laksanakan kursus-kursus meningkatkan kemahiran petugas pilihan raya. Kawasan-kawasan juga kena ada kesedaran tinggi memahirkan petugas pilihan raya dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat PAS supaya terus bekerja menyantuni rakyat bagi membuktikan kemampuan parti itu memerintah serta memikul amanah.

“Jadilah ‘enabler’, pemboleh kepada kesangsian orang ramai. Tunjukkan PAS mampu memerintah, melaksanakan tanggungjawab serta memikul amanah. Teruslah berkhidmat,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera PAS supaya tidak bergantung kepada pemimpin tertentu sahaja, sebaliknya bergerak bersama dalam tempoh yang ada.

“Pakat-pakat pulun, berlemoih sama-sama. Manis sama-sama. Kalau kamu tak mahu berjuang, Allah akan ganti dengan kaum lain yang nak berjuang. Jadi semua perlu pulun bersungguh-sungguh. 

“Dalam tempoh 300 hari inilah, kita akan tentukan nasib negara kita. PAS akan terus memimpin perubahan besar kepada negara ini, insya-Allah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments