Oleh: Roslinda Hashim
KOTA BHARU - PAS Johor digesa memperkukuh gerak kerja parti dengan memperbanyakkan cawangan serta memperluaskan jentera bagi memastikan penguasaan politik di negeri itu terus berkembang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, PAS Johor tidak seharusnya hanya menumpukan kepada kerja-kerja kebajikan seperti badan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh organisasi untuk menghadapi pilihan raya.
Katanya, Johor menjadi antara negeri penting sebagai titik permulaan kepada pelaksanaan strategi PAS yang lebih besar pada masa akan datang, khususnya PRU16.
“Saya harap dengan pendekatan baharu pilihan raya, orang-orang Johor tambah cawangan bagi banyak. Tambah cawangan PAS. Buka cawangan banyak-banyak.
“Kita bukan NGO, kita parti politik. Kerja kita nak masuk pilihan raya,” katanya ketika penggulungan Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.
Sanusi berkata, walaupun gerak kerja PAS di Johor dilihat baik dari aspek kebajikan, perkembangan organisasi parti itu masih belum menunjukkan peningkatan ketara selepas beberapa siri pilihan raya.
“Saya ucap terima kasih kepada orang Johor. Selepas berakhirnya PRN, daripada beberapa kali pilihan raya di Johor, orang Johor macam itu juga, tak berkembang.
“Negeri-negeri yang tolong, turun pergi Johor. Saya ingat orang Johor sudah bertambah, duk banyak tu juga. Kerja banyak tu juga. Jentera tak bertambah, cawangan banyak itu juga. Tapi nak kerusi, nak bertanding 15, sedangkan 11 pun tak upaya dah,” katanya.
Menurut beliau, PAS Johor perlu mengubah pendekatan dengan memastikan kerja parti dilakukan secara berterusan dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti kebajikan.
“Saya nampak kerja di Johor baik. Mereka kata beras habis sebulan 1,000 kampit. Mengundi tak menang. Itu kerja NGO. Jangan buat kerja NGO, buat kerja parti. Kerja parti politik perlu berterusan. Akhir sekali, kita nak orang undi kita,” katanya.
Sanusi turut menyifatkan usaha mengedarkan bantuan semata-mata tanpa disusuli pengukuhan sokongan politik sebagai tidak memadai bagi sebuah parti politik.
“Kalau nak buat kerja edar beras saja, baik masuk tabligh,” katanya.
Beliau turut menggesa PAS Johor supaya menjadikan teguran berkenaan sebagai cabaran untuk memperluaskan pengaruh parti di negeri itu.
“PAS Johor, ini cabaran saya untuk orang Johor. Kena pulun lagi. Berkembanglah, wahai Johorian sekalian,” katanya.
Tambah Sanusi, walaupun PAS belum berjaya memenangi kerusi di Johor, parti itu perlu terus memperkukuh gerak kerja bagi meningkatkan penguasaan politik Islam dan Melayu di negeri berkenaan.
“Walaupun tidak berjaya menangi kerusi, insya-Allah akan meningkatkan penguasaan politik Islam Melayu di Johor,” katanya.

0 Comments