RM1.34 JUTA BANTU PELAJAR KEDAH SAMBUNG PENGAJIAN KE MESIR, JORDAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyediakan RM1.34 juta bantuan pendidikan siswa Timur Tengah bagi membantu 176 anak Kedah melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, daripada jumlah tersebut, RM440,000 telah diagihkan sebagai bantuan awal sebanyak RM2,500 kepada setiap pelajar, manakala baki RM904,000 akan diagihkan selepas pelajar tiba di Timur Tengah.

“Menerusi agihan pendidikan siswa Timur Tengah ini, pelajar yang mengikuti pengajian di Mesir menerima RM5,000 seorang membabitkan RM840,000, manakala yang ke Jordan menerima RM8,000 seorang dengan jumlah RM64,000

“Ini bermakna agihan awal zakat kepada seorang pelajar ke Mesir dan Jordan adalah antara RM7,500 hingga RM10,500 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan dan Penghantaran Pelajar Kedah ke Mesir Tahun 2026, di sini hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan 176 pelajar yang menerima manfaat agihan zakat pendidikan tahun ini, seramai 168 orang melanjutkan pengajian ke Mesir, manakala lapan lagi ke Jordan.

“Mereka terdiri daripada 121 pelajar lelaki dan 55 pelajar perempuan. Namun seramai 158 pelajar akan berlepas ke Mesir pada bulan ini,” katanya.

Sanusi berkata, bantuan pendidikan berkenaan merupakan kesinambungan skim agihan pendidikan siswa Mesir pada tahun lalu yang memperuntukkan RM3.18 juta dan memanfaatkan 377 pelajar.

“RM3.18 juta setahun ini adalah amanah zakat, hasil keyakinan pembayar zakat kepada institusi agama dan pelaburan umat untuk melahirkan generasi berilmu,” katanya.

Beliau berkata, LZNK menyediakan skim agihan pendidikan berdasarkan pencapaian akademik pelajar yang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan, manakala Yayasan Islam Negeri Kedah membantu mengurus serta memudah cara penghantaran pelajar dari awal sehingga mereka tiba di destinasi.

Menurut Sanusi, bantuan daripada LZNK melalui agihan asnaf fi sabilillah itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan waris pelajar.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar supaya menghargai bantuan yang diberikan dengan menunjukkan disiplin tinggi, pencapaian akademik membanggakan serta akhlak yang baik.

“Saya mengajak anak-anak semua dan ibu bapa menghargai bantuan ini dengan menunjukkan disiplin tinggi, pencapaian akademik yang membanggakan dan akhlak yang menjadi contoh.

“Matlamat akhir pengembaraan ilmu tidak berakhir dengan segulung ijazah, tetapi saya mahu anak-anak semua dikenali sebagai anak Kedah yang pulang dengan ilmu bermanfaat kepada diri sendiri, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Post a Comment

0 Comments