Oleh: Muhammad Ehsan Shaari
Pegawai Penyelidik Yayasan Kedah Sejahtera
Sikap Amerika Syarikat (AS) terhadap negara-negara asing telah diketahui umum. Terutamanya campur tangan AS terhadap politik domestik negara-negara dunia ketiga. Walaupun tidak disebut sebagai 'campur tangan', AS secara tersirat menterjemahkan 'campur tangan' ini dalam satu terma ‘Democracy Promotion’, ‘Civil Society Building’ atau ‘Governance Assistance’.
Baru-baru ini, kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memacu tindak balas Kedutaan AS di Kuala Lumpur. Beliau menyebut, AS cuba menawarkan sokongan kewangan kepada parti-parti pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. Namun kenyataan ini dinafikan oleh pihak kedutaan.
Pada tahun 2018, Daniel Twining, Presiden International Republican Institute (IRI) dengan beraninya mendedahkan IRI dengan kerjasama National Endowment for Democracy (NED) telah berusaha untuk menguatkan Parti-Parti Pembangkang di Malaysia untuk menjatuhkan Kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Razak.
Usaha ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut berlaku di negara-negara lain yang tidak sehaluan dengan AS.
Pada tahun 2023, portal The Intercept telah mendedahkan Washington tidak berpuas hati terhadap Pakistan mengenai konflik di Ukraine. AS juga menjanjikan hubungan yang lebih baik jika Imran Khan berjaya digulingkan. Sebulan selepas ketidakpuasan AS terhadap Pakistan, undi tidak percaya telah diadakan di Parlimen yang membawa kepada penyingkiran Imran Khan.
Kedua, menurut portal India Today, bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina ketika protes besar-besaran melanda negara tersebut. Hasina mendakwa jika beliau menyerahkan Pulau St Martin kepada AS, kerajaannya akan kekal bertahan. Namun dalam portal Reuters, AS sekali lagi menafikan campur tangan terhadap konflik domestik Bangladesh tersebut.
Bagi kes Venezuela, pada tahun 2022, Congressional Research Sevice (CRS), AS telah mengeluarkan laporan tentang pendanaan AS kepada pihak pembangkang Venezuela untuk menjatuhkan kerajaan Nicolas Maduro disekalikan dengan pelan yang terperinci yang dinamakan sebagai ‘Plan Pais’. Alasan AS adalah untuk memerangani pengganas, dadah, pengubahan wang haram, perlombongan haram dan pemerdagangan manusia.
Bukti-bukti kes terdahulu menunjukkan bahawa AS secara langsung dan tidak langsung mengamalkan prinsip campur tangan dalam dasar luar negaranya.
Menurut Robinson dalam bukunya Promoting Polyarchy: Globalization, US Intervention, and Hegemony, beliau menyebut "agenda demokrasi turut membolehakan kita menggabungkan dan mengaburkan beberapa isu yang sebaliknya akan mendatangkan masalah. Ia membantu merapatkan jurang antara kepentingan asas geopolitik dan strategik kita."
ni menunjukkan, AS sehingga kini masih mengamalkan sikap campur tangan yang mencampuri urusan domestik bagi negara-negara luar untuk kepentingan AS itu sendiri.
Kesimpulannya, pendekatan AS terhadap negara-negara asing memperlihatkan bahawa agenda democracy promotion, pembangunan masyarakat sivil dan bantuan tadbir urus tidak boleh dilihat semata-mata sebagai usaha memperkukuhkan demokrasi.
Dalam banyak keadaan, instrumen ini bergerak seiring dengan kepentingan geopolitik dan strategik AS, khususnya apabila sesebuah kerajaan dilihat tidak sehaluan dengan Washington.
Sokongan terhadap aktor politik, organisasi masyarakat sivil dan kelompok pembangkang akhirnya menjadi sebahagian daripada mekanisme pengaruh yang mampu membentuk perubahan politik domestik sesebuah negara.
usteru, konsep campur tangan memberikan kerangka yang penting untuk memahami bagaimana AS mengekalkan pengaruhnya tanpa semestinya menggunakan campur tangan ketenteraan secara terbuka. Demokrasi dipromosikan, tetapi dalam masa yang sama ruang politik sesebuah negara turut dibentuk supaya selari dengan kepentingan strategik AS.
Atas sebab itu, setiap dakwaan campur tangan asing tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan penafian diplomatik, sebaliknya perlu diperhatikan melalui pola tindakan, bentuk pendanaan, jaringan institusi dan kepentingan geopolitik yang mengiringinya.

0 Comments