GRADUAN TIMUR TENGAH DIMINTA BERSAMA PERKASAKAN GAGASAN ‘CORDOBA OF KEDAH’ - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mahu graduan yang menamatkan pengajian di Timur Tengah  menjadi antara penggerak utama gagasan ‘Cordoba of Kedah’ dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai pusat ilmu, budaya dan tamadun.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah mahu melahirkan generasi bijak pandai yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah mempunyai kecerdasan intelektual, kekuatan spiritual, kematangan emosi, keluasan pemikiran dan keupayaan memimpin.

Katanya, gagasan ‘Cordoba of Kedah’ membawa aspirasi untuk membentuk sebuah negeri yang subur pemikirannya, tinggi budayanya serta kukuh tamadunnya menerusi pembangunan ekosistem ilmu.

“Daripada ekosistem ilmu inilah kita mahu lahirkan Generasi Al-Abqari, iaitu generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi mempunyai kecerdasan intelektual, kekuatan spiritual, kematangan emosi, keluasan pemikiran dan keupayaan memimpin.

“Inilah generasi yang kita harapkan akan mengisi masa depan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan dan Penghantaran Pelajar Kedah ke Mesir Tahun 2026, di sini hari ini.

Menurut Sanusi, pelajar yang dihantar menuntut ilmu ke Timur Tengah bukan sekadar perlu pulang dengan segulung ijazah, sebaliknya membawa pulang ilmu, pengalaman, akhlak dan keupayaan kepimpinan untuk disumbangkan kepada masyarakat serta negeri.

Sehubungan itu, beliau menitipkan tiga amanat kepada pelajar terbabit sebelum mereka berangkat meninggalkan tanah air.

“Pertama, peliharalah agama dengan menjadikannya sebagai panduan kehidupan. Jaga solat dan akhlak.

“Kedua, tuntutlah ilmu menggunakan peluang yang ada dengan mendalami ilmu, kuasai bahasa, bina kemahiran dan perluaskan jaringan.

“Carilah alim ulama di luar waktu kuliah universiti untuk mendalami ilmu lebih luas. Kalau boleh duduklah di sana sehingga selesai pengajian, jangan kerap balik setiap musim cuti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya pulang berbakti dengan menggunakan ilmu yang dimiliki untuk kepentingan ummah, bukan semata-mata untuk kepentingan diri.

“Pesanan terakhir, gunalah ilmu untuk mempertahankan kesucian agama Islam, sebagai panduan kehidupan dalam memimpin ummah, seterusnya membantu negeri berkembang sebagai negeri yang membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam masa sama, Sanusi  mengingatkan pelajar supaya berazam menamatkan pengajian mengikut tempoh ditetapkan dan tidak menangguhkan pengajian atas faktor peribadi.

“Fokus pengajian dahulu hingga tamat. Jangan tangguh pengajian disebabkan ingin berkahwin. Selesaikan fasa pengajian sebelum memasuki fasa rumah tangga,” katanya.

Tambah beliau, graduan Mesir dan Jordan juga perlu mematangkan diri serta menyesuaikan ilmu dan kemahiran yang dimiliki dengan perkembangan dan keperluan semasa.

“Cabaran kita banyak, cubaan pun banyak. Sesuaikan kemahiran dan ilmu yang dimiliki dengan dunia semasa, dengan keperluan hari ini dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling.

“Gunakan ilmu yang ada dalam persekitaran kita hari ini,” katanya.

Sanusi berkata, dalam meniti perjalanan menuntut ilmu ke Timur Tengah, pelajar juga perlu ikhlas dengan matlamat yang benar dan bukan hanya untuk memperoleh ijazah.

“Jangan jadikan perjalanan ini semata-mata untuk dapatkan ijazah. Tetapi perjalanan untuk membina ilmu, membentuk akhlak, jati diri, kepimpinan dan meraih pengalaman.


“Dalam mengejar kerjaya akademik, jangan sekali-kali melupakan akar di mana kita bermula,” katanya.

Post a Comment

0 Comments