CABUTAN KHAS JUDI: BICARA BERDASARKAN FAKTA

 

Oleh: Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS

Ramai pihak mempertikaikan pendirian PAS berhubung keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ramalan ketika PAS berada dalam Kerajaan Persekutuan.

Sebagai anggota Jemaah Menteri dalam pentadbiran dua Perdana Menteri, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, ingin saya tegaskan bahawa sepanjang pengetahuan dan ingatan saya, isu peningkatan jumlah cabutan khas tersebut tidak pernah dibentangkan atau dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Justeru, tiada keputusan Jemaah Menteri dibuat mengenainya.

Sebagai pimpinan PAS yang diberikan amanah dalam kerajaan ketika itu, menjadi kewajipan kepada kami untuk terus menjunjung prinsip perjuangan Islam, termasuk dalam perkara yang melibatkan perjudian.

Sudah tentu, sekiranya perkara tersebut dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri, kami daripada PAS tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bantahan. Pendirian PAS terhadap perjudian bukan perkara baharu dan tidak pernah berubah.

Malah, apabila peningkatan daripada lapan kepada 22 cabutan khas diketahui pada tahun 2021, pimpinan PAS telah menyuarakan bantahan secara terbuka.

Justeru, adalah tidak benar dan tidak adil sekiranya kesalahan dalam perkara ini cuba diletakkan kepada PAS hanya kerana PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan pada ketika itu.

Rekod menunjukkan bahawa kelulusan 22 cabutan khas tersebut dinyatakan melalui jawapan rasmi Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Jika mahu membicarakan soal tanggungjawab, biarlah fakta diletakkan pada tempatnya dan semua pihak dinilai dengan ukuran yang sama.

Bagi seorang Muslim, persoalan perjudian melangkaui pertikaian politik. Allah SWT dengan jelas mengharamkan perjudian. Oleh itu, tanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar bukan tanggungjawab PAS semata-mata, tetapi merupakan kewajipan bersama umat Islam, lebih-lebih lagi mereka yang diberikan amanah dan kuasa dalam pemerintahan.

Kita boleh berbeza pandangan dan pendirian politik. Namun, dalam perkara yang jelas bertentangan dengan tuntutan agama, janganlah prinsip berubah mengikut siapa yang memerintah.


Yang haram tetap haram. Yang mungkar tetap wajib kita cegah.

Post a Comment

0 Comments