PERSENDA MALAYSIA DAN RUKUN NEGARA: SIASATAN TANGKAS DAN TINDAKAN TEGAS MESTI DIAMBIL.

 

KENYATAAN MEDIA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Oleh: Nazir Helmi

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius sebuah pementasan yang tular baru-baru ini apabila kandungannya dilihat mempersendakan Malaysia, institusi Raja serta prinsip-prinsip Rukun Negara. Berdasarkan rakaman yang tersebar, beberapa babak dan dialog melibatkan 3R. 

Seni, teater dan komedi sememangnya mempunyai ruang untuk mengkritik serta mengangkat isu masyarakat. Namun, kebebasan berkarya tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk mempermainkan asas kenegaraan sehingga mengundang provokasi dan mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

Rukun Negara bukan sekadar teks untuk dilafazkan dalam perhimpunan rasmi. Ia bermatlamat membentuk perpaduan yang kukuh dan menjadi antara asas kehidupan bernegara, melalui prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Kesopanan dan Kesusilaan. 

Kandungan ini telah disebarkan secara meluas dan sekiranya dibiarkan berulang berpotensi mewujudkan ketegangan yang tidak diperlukan dalam masyarakat majmuk.

Justeru, Pemuda PAS Malaysia menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perpaduan Negara serta agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pementasan dan penyebaran rakaman berkenaan. Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran mana-mana peruntukan undang-undang, tindakan tegas dan sewajarnya hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab. 

Pemuda PAS Malaysia juga menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus mempertahankan rasa hormat terhadap negara dan asas-asas yang menyatukan kita. Perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada masyarakat demokratik, tetapi jangan sampai Malaysia, institusi Raja dan Rukun Negara dijadikan bahan untuk dipermainkan atas nama kebebasan berkarya.


 #MemimpinPenyatuan #PemudaPAS

Post a Comment

0 Comments