LANGKAWI BERPOTENSI JADI HAB AKUAKULTUR BERNILAI TINGGI

 

Oleh: Ku Azizah Ku Hamid

LANGKAWI – Langkawi berpotensi muncul sebagai hab akuakultur moden dan bernilai tinggi di rantau ini menerusi pembangunan ekosistem industri lengkap merangkumi teknologi, penyelidikan, pemprosesan, logistik serta pasaran eksport antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, potensi itu semakin terbuka luas menerusi pembangunan yang dirancang di Pulau Langgun, sekali gus mampu menjadikan Langkawi sebahagian daripada ekosistem akuakultur moden Kedah.

Menurut beliau, pembangunan sektor berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada peningkatan pengeluaran, sebaliknya perlu disokong rantaian industri yang mampu menghasilkan nilai tambah dan membuka pasaran lebih luas.

“Visi kita bukan sekadar meningkatkan pengeluaran akuakultur, tetapi membangunkan ekosistem bersepadu yang disokong teknologi, penyelidikan, kemudahan pemprosesan, rantaian sejuk, logistik dan akses ke pasaran eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Langkawi International Aquaculture & Agriculture Conference (LIAA) 2026 di sini.

Dzowahir berkata, usaha memperkukuh sekuriti makanan negeri juga tidak lagi boleh bergantung kepada sektor pertanian tradisional semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perikanan, akuakultur, teknologi makanan, pemprosesan dan jaringan pasaran global.

Katanya, pembangunan industri akuakultur bersepadu mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya melalui peluang pekerjaan baharu, pengukuhan perniagaan tempatan serta peningkatan pendapatan nelayan, komuniti pesisir pantai dan golongan belia.

“Manfaat pelaburan dan pemindahan teknologi mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bsharu kepada rakyat, bukan sekadar peningkatan angka pelaburan.

“Pada masa sama, kita mahu komuniti tempatan turut mendapat manfaat daripada perkembangan industri ini,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran kondusif bagi pembangunan sektor berkenaan menerusi pematuhan dasar, peraturan serta kelulusan yang berkaitan, manakala pihak swasta perlu memastikan setiap pelaburan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama jangka panjang pelabur serta rakan antarabangsa yang mampu membawa masuk teknologi dan kepakaran, selain membuka akses baharu kepada pasaran global.

“Penganjuran LIAA 2026 diharap menjadi pemangkin kepada pembentukan kerjasama strategik, pelaburan baharu dan peluang ekonomi yang mampu mempercepatkan pembangunan sektor makanan serta memperkukuh daya saing Kedah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Post a Comment

0 Comments