Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah kini mencapai 39 peratus, melepasi sasaran 30 peratus di peringkat nasional mahupun global.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pencapaian itu membuktikan Kerajaan Negeri tidak mengamalkan diskriminasi berdasarkan gender, sebaliknya memberi ruang kepimpinan berdasarkan keupayaan dan kebolehan seseorang.
“Kedah sudah melebihi kadar nasional. Kita beri ruang berdasarkan keupayaan seseorang. Tak kira lelaki atau perempuan.
“Kalau seseorang itu ada kebolehan, kita beri ruang. Itu yang berlaku di Kedah. Kita tidak amalkan diskriminasi gender,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Wanita Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.
Menurut beliau, ketika perjuangan wanita di peringkat global meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita, Kedah kini telah mencapai kadar lebih tinggi, iaitu hampir 40 peratus.
Sanusi memaklumkan, ketika ini dua anggota EXCO Kerajaan Negeri Kedah terdiri daripada wanita, selain tiga Pegawai Daerah wanita masing-masing di Kuala Muda, Bandar Baharu dan Kubang Pasu.
“Kepimpinan wanita turut terserlah dalam agensi kerajaan antaranya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) adalah wanita, selain ramai wanita menerajui beberapa bahagian dalam perkhidmatan awam negeri khususnya pegawai gred 54.
“Itu realiti di Kedah. Kami beri keutamaan sepenuhnya kepada keupayaan wanita untuk memimpin dan mentadbir negeri,” katanya.
Beliau berkata, wanita bukan sekadar menjadi tiang seri dan tunjang kekuatan institusi keluarga, malah turut berperanan sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonomi, keharmonian sosial dan pembangunan modal insan.
Sehubungan itu, katanya, Dasar Wanita Kedah dirangka secara menyeluruh bagi meningkatkan penyertaan, kapasiti serta kepimpinan wanita dalam pelbagai sektor.
“Dasar ini turut memperluas akses kepada peluang ekonomi, pendidikan, teknologi, kesihatan dan perlindungan sosial, selain mewujudkan ekosistem yang membolehkan wanita menyumbang secara optimum kepada pembangunan negeri,” jelas beliau.
Menurut Sanusi, dengan memperkasakan potensi wanita di semua peringkat kehidupan dan sektor, Dasar Wanita Kedah menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera,” katanya.

0 Comments