KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
Oleh: Mohd Hafez bin Sabri
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
ADUN Manjoi
Pemuda PAS Malaysia ingin menegaskan bahawa isu kenaikan bil elektrik ini telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen PAS di Parlimen dalam mesyuarat pertama persidangan penggal keempat tahun 2025 lagi termasuklah soalan lisan daripada YB Dato' Takiyuddin Hassan. Ia menolak dakwa dakwi sesetengah pihak yang menganggap tiada wakil rakyat PAS yang pernah mengetengah isu-isu rakyat ke Parlimen khususnya mengenai kenaikan bil elektrik.
Malah, wajar ditegaskan bahawa semasa era PAS memegang tampuk Kementerian sebelum ini, Kerajaan membelanjakan kira-kira RM6 bilion bagi menyerap segala kos kenaikan bahan api supaya tidak membebankan para pengguna.
Walaupun demikian, Pemuda PAS Malaysia juga menanggapi perubahan struktur baharu bil elektrik daripada mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) kepada mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang diperkenalkan sejak 11 Jun 2025 menjadikan pelarasan kos bahan api dikira secara bulanan berbanding purata enam bulan.
Timbul persoalan besar apabila Kementerian sendiri menjelaskan bahawa perubahan struktur baharu bil elektrik ini sekadar bersifat "minimum dengan 85 peratus pengguna domestik dan golongan PMKS tidak terjejas". Ironinya, dengan pendedahan demi pendedahan yang berlaku mutakhir ini, nampaknya perubahan struktur tersebut tidak bersifat "minima" seperti yang digambarkan.
Tambahan lagi, Kementerian turut menjelaskan mengenai rebat kepada pembelian peralatan cekap tenaga selain mengelakkan penggunaan domestik ketika waktu puncak berkait Time of Use (ToU). Perkara ini satu sudut menggalakkan kecekapan penggunaan tenaga elektrik oleh rakyat keseluruhannya tetapi masih memerlukan penelitian lebih lanjut kalau ia terus menambah beban para pengguna.
Pemuda PAS Malaysia menyokong langkah yang diperkenalkan TNB dengan usaha menggalakkan penggunaan tenaga elektrik yang lebih cekap. Walau bagaimanapun, kenyataan Kerajaan bahawa 85 peratus pengguna domestik dan PKMS tidak terjejas kelihatannya jauh tersasar daripada realiti.
Oleh yang demikian, Pemuda PAS Malaysia berpandangan Kerajaan wajar memperluaskan kumpulan sasar penerima rebat yang diberikan kepada golongan B40, eKasih termasuklah kepada golongan PKMS. Usah menambah beban kewangan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan pelbagai kenaikan kos.
Semakan semula terhadap struktur, nilai ambang kWj bagi pemberian rebat dan Insentif Cekap Tenaga selain penilaian menyeluruh terhadap nilai Insentif Cekap Tenaga yang disumbangkan semula kepada pengguna adalah amat wajar supaya rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan bil elektrik yang tidak terkawal.

0 Comments