“POHON PENYATUAN INI MESTI TERUS DISIRAM DAN DIBAJA”
Oleh: Roslinda Hashim
KOTA BHARU - Dewan Pemuda PAS Malaysia mahu usaha penyatuan dengan Pemuda UMNO diperkukuhkan sebagai agenda berterusan dan tidak hanya berlaku apabila pilihan raya semakin hampir.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudeen berkata, golongan Pemuda perlu menjadi jambatan utama dalam mengukuhkan penyatuan ummah dengan melangkaui kepentingan politik kepartian mahupun pilihan raya.
Menurutnya, penyatuan tersebut tidak seharusnya hanya muncul ketika pilihan raya dan kembali berakhir selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
“Penyatuan tidak boleh bermusim. Kita tidak boleh bersatu ketika mahu menang, tetapi kembali bertelagah setelah mendapat kemenangan. Kita juga tidak boleh hanya duduk bersama apabila mempunyai musuh yang sama, tetapi berpisah apabila kepentingan politik mula berubah.
“Kita mahu membina hubungan yang jauh mengatasi pertimbangan politik kepartian dan pilihan raya semata-mata,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-67 yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini.
Muktamar kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila dihadiri Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama 25 delegasi.
Afnan Hamimi berkata, pendirian Pemuda PAS dan Pemuda UMNO untuk bersama dalam penyatuan ummah merupakan langkah penting membina hubungan yang lebih kukuh demi kepentingan umat.
“Kita mungkin datang daripada parti dan sejarah politik berbeza. Tetapi apabila kepentingan umat yang lebih besar berada di hadapan, kita mesti mempunyai jiwa besar untuk mencari titik yang boleh menyatukan kita.
“Benih itu telah mula ditanam. Kita melihat bagaimana hubungan dan kerjasama itu mula dibina di Johor. Kemudian berkembang sehingga kita dapat menikmati hasilnya di Negeri Sembilan.
“Pohon penyatuan ini mesti terus disiram dan dibaja. Antara tangan paling bertanggungjawab menjaganya ialah Pemuda,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda juga perlu mendidik generasi baharu supaya memahami bahawa Islam merupakan asas perjuangan yang mendahului kewujudan mana-mana parti politik.
Katanya, parti politik hanyalah wadah untuk menyusun tenaga, membawa dasar, menyertai pilihan raya serta mendapatkan kuasa bagi melaksanakan amanah kepada umat.
“Nama parti politik atau gabungan politik boleh berubah. Landskap politik juga akan berubah. Tetapi Islam dan akidah tidak berubah. Tanggungjawab kita terhadap umat tidak berubah. Sebab itu parti politik mesti kita letakkan pada tempatnya. Parti hanyalah wadah perjuangan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia pada muktamar kali ini mengangkat amanah besar menerusi tema ‘Memimpin Penyatuan’.
“Kita tidak mahu sekadar bercakap tentang penyatuan. Kita mahu memimpinnya. Kita tidak mahu sekadar menunggu orang lain membuka ruang. Kita sendiri mesti menjadi jambatan yang menemukan kekuatan-kekuatan umat yang selama ini berjauhan.
“Pemuda mesti berani meneruskan agenda penyatuan lebih awal. Masa depan tidak terbentuk dengan sendirinya tetapi oleh keputusan yang kita buat pada hari ini. Keputusan dan tindakan ini mesti bermula sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi tegaskan, agenda penyatuan yang digagaskan tidak bermaksud kelompok lain perlu diketepikan atau hak kaum dan agama lain dinafikan.
Sebaliknya, katanya, kekuatan Melayu-Islam perlu dibina berasaskan keyakinan, kepimpinan dan arah yang jelas supaya kekuatan itu dapat dimanfaatkan untuk membawa keadilan kepada seluruh rakyat.
“Kita tidak mahu bina kekuatan Melayu-Islam dengan menafikan hak kaum dan agama lain. Kita mahu umat ini mempunyai keyakinan, kepimpinan dan arah yang jelas supaya kekuatan itu akhirnya dapat digunakan untuk membawa keadilan kepada semua rakyat di negara ini,” katanya.

0 Comments