PAS BERSEDIA HADAPI PRU16 BILA-BILA MASA - ABDUL HADI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KOTA BHARU - PAS memberi isyarat jelas bahawa parti itu tidak gentar sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, malah mengakui sudah mempunyai barisan calon yang boleh diketengahkan untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sentiasa membuat persiapan menghadapi pilihan raya dan tidak berdepan masalah sekiranya kerajaan memilih untuk mengadakan PRU16 sebelum tempoh penggal Parlimen berakhir.

Menurut beliau, tarikh pilihan raya adalah hak kerajaan untuk menentukannya, manakala PAS bersedia pada bila-bila masa, termasuk jika kerajaan memutuskan untuk mengadakannya lebih awal.

“Calon kita (ada), serahlah. Memang ada... insya-ALLAH. Kita ada ramai, ramai (calon),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-65 di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, persiapan pilihan raya bukan perkara baharu bagi parti itu, termasuk dari aspek mengenal pasti calon yang sesuai untuk diketengahkan bagi setiap kawasan.

Katanya, PAS juga sudah biasa berdepan keadaan apabila tarikh pilihan raya tidak diumumkan lebih awal, sekali gus menjadikan parti itu sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Kita biasa sahaja. Kita pernah mengalami keadaan dalam Malaysia ini yang tidak memaklumkan tarikh pilihan raya lebih awal, sedangkan ada negara lain berbuat demikian,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpandangan PRU16 wajar diadakan lebih awal sebelum menghampiri penghujung penggal Parlimen yang dijadualkan berakhir pada hujung tahun depan.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, PRU lebih awal membolehkan mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan diperoleh semula daripada rakyat.

Post a Comment

0 Comments