PEMUDA PAS GERAKKAN HIMPUNAN MEGA PENYATUAN UMMAH
Oleh: Roslinda Hashim
KOTA BHARU - Dewan Pemuda PAS Pusat akan menggerakkan Himpunan Mega Penyatuan Ummah sebagai kemuncak usaha menyatukan umat Islam dan memperkukuh masa depan negara.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudeen berkata, himpunan itu bukan sekadar perhimpunan politik, sebaliknya platform menghimpunkan ulama, anak muda, agamawan, golongan profesional serta masyarakat pelbagai latar belakang, dengan matlamat untuk menyatukan umat dan membina masa depan bersama.
“Kita akan bawa seluruh gerakan ini menuju kepada Himpunan Mega Penyatuan Ummah. Ini bukan sekadar himpunan.
“Ia adalah laungan kesatuan umat, merupakan pertemuan antara ulama dan anak muda, agamawan dan profesional, masyarakat dan pemimpin yang datang daripada pelbagai latar belakang, namun berdiri atas satu cita-cita menyatukan umat, memperkukuh negara dan membina masa depan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-67 yang dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, di sini.
Muktamar kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila dihadiri Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama 25 delegasi.
Menurut Afnan Hamimi, usaha penyatuan itu akan digerakkan menerusi empat segmen utama sebelum seluruh kekuatan dihimpunkan dalam satu tindakan kemuncak.
Katanya, segmen pertama memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi agama dengan melibatkan imam, guru agama, agamawan, jawatankuasa masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan Islam.
“Segmen kedua, menggerakkan generasi baharu, manakala segmen ketiga membabitkan kepakaran untuk negara dengan menghimpunkan golongan profesional, penjawat awam dan teknokrat. Segmen keempat pula memelihara keharmonian majmuk,” katanya.
Beliau berkata, empat segmen itu perlu diterjemahkan sebagai satu gerakan yang mengukuhkan institusi agama, menggerakkan anak muda, menyatukan golongan profesional serta memelihara keharmonian masyarakat.
Menurut Afnan Hamimi, usaha berkenaan turut berteraskan lima teras, iaitu Satukan Akidah, Satukan Saf, Satukan Usaha, Satukan Tekad dan Satukan Matlamat.
Katanya, lima teras tersebut perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan sehingga menjadi gerakan rakyat.
“Ia bukan sekadar rangka kerja untuk kita menguatkan organisasi. Ia mesti bermula dengan diri kita sendiri.
“Kita tidak boleh sombong dan jangan ada sikap keakuan bahawa kitalah yang memulakan segala-galanya. Kita perlu memimpin diri, akhlak dan nafsu sebelum kita mampu memimpin keluarga, masyarakat, negara bahkan masyarakat antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, gagasan penyatuan ummah tidak wajar dilihat sebagai usaha menghapuskan mana-mana pihak, sebaliknya berasaskan nilai bersama dan tanggungjawab untuk mengembalikan manusia kepada asas pengabdian kepada Allah SWT.
Menurutnya, konsep ummah tidak seharusnya disempitkan kepada bangsa atau blok politik yang dibentuk atas kepentingan pilihan raya semata-mata.
“Ummah bukan sekadar satu bangsa yang berkongsi darah dan keturunan atau blok politik yang dibentuk kerana kepentingan pilihan raya. Ummah ialah masyarakat yang mempunyai ikatan, nilai, arah dan tanggungjawab bersama,” katanya.
Afnan Hamimi turut mengingatkan kesan perpecahan orang Melayu-Islam yang telah menjejaskan kekuatan politik dan ekonomi umat.
Katanya, perpecahan pemimpin, masyarakat dan parti politik menyebabkan kepentingan kelompok mengatasi kepentingan umat yang lebih besar.
“Kalau keadaan ini dibiarkan lima atau 10 tahun lagi, di mana kedudukan umat kita?” soalnya.
Tegas beliau, kelemahan ekonomi dan politik saling berkait, apabila kekurangan kekuatan ekonomi menyebabkan suara politik umat mudah menjadi lemah, manakala perpecahan politik pula membataskan keupayaan membina dasar yang mampu memperkukuh ekonomi.
“Akhirnya, kita berada dalam satu lingkaran yang sama: lemah politik, lemah ekonomi; lemah ekonomi, semakin lemah politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar usaha mencari titik persamaan terus diperkukuh tanpa menggadaikan prinsip.
“Kita perlukan keberanian mencari titik yang boleh menyatukan kita tanpa menggadaikan prinsip. Kita perlukan kebijaksanaan untuk bezakan antara prinsip yang wajib dipertahankan dengan perkara yang boleh dibincangkan.
“Jangan ulangi kesilapan sama. Jika kita pernah rugi kerana berpecah, jangan biarkan generasi kita ulangi kerugian itu. Kalau dahulu kekuatan terhakis kerana terlalu banyak pertelingkahan, tanggungjawab kita ialah mencari jalan supaya perkara itu tidak berulang,” katanya.

0 Comments