PENYATUAN UMMAH KUKUHKAN KUASA POLITIK MELAYU-ISLAM, JANGAN TERHENTI SELEPAS PRN

 

 “ULAMA RABANNI SEDIA LAHIRKAN NEGARAWAN PIMPIN NEGARA ISLAM”

Oleh: Roslinda Hashim 

KOTA BHARU - Penyatuan ummah tidak seharusnya terhenti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya perlu diteruskan bagi memperkukuh kuasa politik umat Islam di negara ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, penyatuan ummah perlu terus diangkat sebagai agenda utama bagi memastikan umat Islam kembali bersatu padu, selain membina kekuatan politik Melayu-Islam secara berterusan.

Menurutnya, kejayaan formula penyatuan ummah dalam dua PRN terbaharu, Johor dan Negeri Sembilan perlu diteruskan dengan persiapan lebih tersusun bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Insya-Allah, kalau inilah formulanya, kita sentiasa siap sedia menjunjung arahan dan perintah daripada kepimpinan utama bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) dan DAP tumbang dalam PRU16, termasuk di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-65 yang dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hari ini.

Ahmad berkata, kemenangan yang dicapai tidak seharusnya membuatkan kita leka, sebaliknya perlu disusuli usaha lebih gigih bagi memastikan politik Melayu-Islam terus berada di persada politik tanah air.

Katanya, cabaran penyatuan ummah bukan sekadar menyedarkan masyarakat Islam, malah turut melibatkan usaha membina keyakinan bukan Islam terhadap gagasan perpaduan yang dibawa.

“Apa yang lebih getir adalah membentuk kepercayaan golongan bukan Islam yang terperangkap dengan permainan politik perkauman DAP.

“Penyatuan ummah adalah perpaduan untuk semua. Di mana tunjangnya bertapak, di situ rimbunnya berpadu,” katanya.

Ahmad berkata, PAS perlu mula menyediakan barisan negarawan yang mampu memimpin negara pada masa hadapan, dan usaha itu perlu menjadi sebahagian daripada visi gerakan berkenaan.

Katanya, seorang negarawan tidak seharusnya hanya bercakap mengenai kuasa, sebaliknya perlu berfikir mengenai pembinaan legasi dan masa depan negara.

“Ulama Rabbani mesti menjadi pembimbing kepada usaha melahirkan negarawan dalam gerakan Islam ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tema Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ini, ‘Ulamak Rabbani: Memaknai Kemenangan dengan Penyelesaian Islam’, amat bertepatan dalam memastikan peranan ulama terus menjadi panduan kepada kepimpinan dan umat.

Tambah beliau, ulama Rabbani bukan sahaja perlu memiliki ilmu agama dan kemampuan berhujah, tetapi turut berperanan sebagai pembimbing serta pendorong kepada pemerintah dalam memimpin kebangkitan ummah dan melaksanakan amanah pemerintahan.

“Penguasaan ilmu ulama juga tidak boleh terhad kepada al-Quran dan hadis semata-mata, sebaliknya perlu meliputi ilmu seperti qawaid fiqhiyyah, fiqh awlawiyyat, fiqh muwazzanat, fiqh waqie, fiqh taysir dan fiqh ma’alat.

“Kesemua ilmu ini perlu diadun dengan kerangka dasar, polisi serta tindakan sebagai sebuah kerajaan,” katanya.

Ahmad tegaskan, ulama Rabbani perlu turun ke lapangan bagi mendengar sendiri permasalahan rakyat, selain memberikan panduan berasaskan syariat dan kaedah fiqh terhadap isu yang berkembang dalam masyarakat termasuk di media sosial.

“Anggota Dewan Ulamak PAS juga perlu menjadikan penguasaan media sosial sebagai satu keperluan dalam era digitalisasi,” katanya.

Beliau mencadangkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu podcast yang dikendalikan Dewan Ulamak PAS bagi menghidupkan kuliah dan perbincangan ilmiah secara dalam talian.

“Kesedaran ini boleh digabungkan dengan ulama pelapis yang lebih mesra media. Ulama pelapis juga antara cerapan ulama Rabbani yang mesti bersifat ‘down to earth’ bagi memperbetulkan ideologi serta doktrin celaru dan songsang yang telah lama tertanam kalangan anak muda, termasuk soal Islam dan politik,” katanya.

Menghadapi suasana politik yang semakin mencabar serta pilihan raya yang bakal menjelang, Ahmad menggariskan tiga prinsip penting yang perlu diberi perhatian kepimpinan di semua peringkat.

“Pertama, perkemaskan organisasi Dewan Ulamak PAS di seluruh peringkat. Kedua, perkukuhkan jati diri ulama Rabbani berpandukan ciri AKIFI (alim, sufi, haraki) yang penting bagi mengisi kemenangan dengan prinsip penyelesaian Islam.

“Ketiga, membawa neraca keilmuan dan perbahasan fiqh ke lapangan rakyat, negeri dan negara. Ia mesti diusahakan dengan sepenuh jiwa bagi memastikan peranan ulama Rabbani dalam memandu ummah dapat direalisasikan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments