KEDAH MAHU BERALIH DARIPADA ‘MADE IN KEDAH’ KEPADA ‘CREATED IN KEDAH’

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kedah mahu melahirkan lebih banyak idea, syarikat teknologi dan inovasi bertaraf dunia yang dicetuskan anak negeri, selaras dengan hasrat mengubah kedudukan daripada sekadar menghasilkan produk kepada negeri yang mencipta penyelesaian untuk dunia.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, anak Kedah tidak seharusnya sekadar menjadi penonton apabila syarikat-syarikat terbaik dunia datang melabur di negeri ini, sebaliknya perlu berada di makmal, pusat reka bentuk, bilik keputusan, syarikat pemula, pasaran modal dan meja rundingan antarabangsa.

“Cita-cita saya, suatu hari nanti lebih banyak idea dunia lahir di Kedah. Lebih banyak syarikat teknologi diasaskan oleh anak Kedah. Lebih banyak penyelesaian dalam bidang pertanian, kesihatan dan tenaga dicetuskan oleh anak negeri ini.

“Kita mahu bergerak daripada ‘Made in Kedah’ kepada ‘Created in Kedah’,” katanya ketika berucap pada Program Kedah Young Leadership Development Programme 2026, hari ini yang dihadiri lebih 1,000 peserta.

Menurut beliau, pembangunan modal insan menjadi syarat utama pelaburan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang menjadi teras visi The Greater Kedah.

Katanya, Kerajaan Negeri telah memulakan inisiatif seperti program ‘Kedah Young Professionals’ selain memperkukuh hala tuju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan bakat tempatan lebih sepadan dengan keperluan industri.

“Jika syarikat terbaik dunia datang ke Kedah tetapi anak Kedah hanya menjadi penonton, itu bukan kejayaan yang kita mahukan.

“Jika pelaburan meningkat tetapi bakat kita tidak meningkat, kita hanya membina bangunan tanpa membina masa depan,” katanya.

Sanusi berkata, Kedah juga tidak perlu memilih antara kekal sebagai Jelapang Padi atau menjadi negeri berteknologi tinggi kerana kedua-duanya boleh bergerak seiring dalam membangunkan ‘The Greater Kedah’.

“Untuk berubah menjadi negeri berteknologi tinggi, Kedah tidak perlu berhenti menjadi Jelapang Padi. Kita tidak perlu memilih antara warisan dengan inovasi.

“Kedah perlu terus memberi makanan kepada negara dan pada masa sama membantu membina teknologi yang menggerakkan dunia. Itulah Kedah yang saya mahukan,” katanya.

Sanusi berkata, Kedah sebagai negeri pertanian mempunyai tanggungjawab besar dalam menjamin sekuriti makanan negara, khususnya berdepan cabaran perubahan iklim yang boleh menjejaskan pendapatan petani dan bekalan makanan.

Justeru, katanya, sektor pertanian perlu menjadi lebih canggih dan pintar dengan menggabungkan pengalaman petani bersama sains, data, mekanisasi, automasi, pengurusan air, benih lebih baik serta model perniagaan yang memberi pulangan lebih adil kepada pengeluar.

“Petani kita harus berubah dan bersedia menerima perubahan. Kita mesti mengubah kedudukan kita dalam rantaian nilai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, anak muda Kedah juga perlu bersedia menghadapi perubahan teknologi termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang bakal mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan.

Katanya, aspirasi Malaysia untuk menjadi negara AI menjelang 2030 bukan lagi sekadar berkaitan komputer, sebaliknya menuntut masyarakat memanfaatkan teknologi itu untuk meningkatkan produktiviti.

“Saya menyeru anak-anak muda Kedah supaya bersiap sedia ke arah itu. Jangan hanya fikir bagaimana AI akan mengambil alih pekerjaan atau sumber pendapatan kita, tetapi berusahalah untuk menjadi lebih produktif dengan menggunakan AI.

“Kita tidak mempunyai banyak pilihan selain belajar untuk hidup dalam zaman AI,” katanya.

Sanusi berkata, Kedah pada 2046 yang diimpikan ialah negeri yang mampu melahirkan jurutera cip, pakar AI, doktor, pakar agronomi, saintis, pentadbir, guru dan usahawan bertaraf antarabangsa, tanpa memaksa rakyat memilih antara kerjaya berkualiti dengan kehidupan bersama keluarga.

Beliau berkata, Kedah juga perlu muncul sebagai negeri dengan sektor pertanian lebih produktif dan berteknologi, sektor kesihatan yang mampu menarik kepakaran serta penyelidikan, khususnya pelancongan perubatan selain pintu sempadannya menjadi pintu perdagangan utama ASEAN.

“Pelabur datang kerana ekosistem, bukan kerana insentif semata-mata. Kerajaan digital memudahkan rakyat, data membantu membuat keputusan dan ketelusan mengurangkan ruang salah guna kuasa.

“Anak-anak Kedah tidak perlu menunggu Kedah menjadi hebat untuk menyumbang. Sumbanglah untuk menjadikan Kedah negeri yang terhebat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments