“SUDAH TERMAKTUB SEBAGAI DASAR PARTI, PERLEMBAGAAN NEGARA “
Oleh: Roslinda Hashim
KOTA BHARU - PAS tidak perlu memasukkan larangan perjudian dalam manifesto pilihan raya kerana pendirian menolak aktiviti itu sudah jelas termaktub dalam dasar parti itu termasuk Perlembagaan negara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjuangan PAS berteraskan Islam dan ia sememangnya melarang perjudian, justeru perkara tersebut tidak perlu dijadikan janji baharu atau manifesto setiap kali menghadapi pilihan raya.
“Dasar PAS adalah Islam, seruan PAS adalah Allahuakhbar!
“Dalam Islam sendiri tidak boleh berjudi. Perkara itu sudah ada lama dalam Perlembagaan PAS, Fasal 5, tidak perlu manifesto. Sudah pun jadi dasar PAS, ia juga dasar Islam.
“Benda-benda yang betul. Ini Allah yang suruh sebab ada dalam dasar Islam yang melarang perjudian. Takkanlah kena masuk manifesto lagi? Ada sekali dah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Podcast Anak Muda sempena Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, di sini, semalam.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, parti itu memperjuangkan pembentukan nilai-nilai Islam dalam negara, termasuk menolak kegiatan perjudian yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
“Baca Perlembagaan PAS, apa perjuangan PAS? Kalau tidak mahu PAS, (kata) tidak mahulah. Gunalah alasan macam-macam.
“Tak payah manifesto sangat, nanti orang tipu. Orang kata manifesto bukan kitab suci,” katanya.
Sebelum ini, menerusi rakaman video, Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencabar PAS supaya memasukkan pengharaman judi dan arak dalam manifesto pilihan raya parti itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Sanusi memaklumkan, Kerajaan Negeri Kedah kini menunggu perkembangan perundangan seterusnya berhubung kemungkinan pengusaha premis perjudian mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut ganti rugi susulan tindakan Kerajaan Negeri terhadap operasi perjudian.
“Kalau mereka nak bawa kes untuk ganti rugi, kita lawanlah lagi,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya tidak menjadikan perjudian sebagai kaedah untuk mendapatkan keuntungan.
“Tak kiralah orang Kedah, orang mana pun, jangan bergantung harap kepada nasib dengan berjudi,” katanya.
Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan mahkamah berkaitan arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perniagaan perjudian di negeri itu.
Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan Kerajaan Kedah membayar kos RM50,000 berikutan keputusan tersebut.
Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Kedah sebelum ini mengumumkan tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berkuat kuasa 1 Januari 2023 berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.

0 Comments