ZAMAN ELIT TENTUKAN NASIB NEGARA SUDAH BERAKHIR

 

“TIBA MASA RAKYAT MARHAEN TENTUKAN SENDIRI HALA TUJU NEGARA”


Oleh: Roslinda Hashim


KOTA BHARU - Zaman golongan elit dan bangsawan menentukan perjalanan negara sudah berlalu, kini tiba masanya golongan marhaen bangkit menentukan sendiri hala tuju serta nasib negara dan bangsa.


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketidakseimbangan penguasaan kekayaan negara menjadi antara sebab golongan marhaen perlu diberikan ruang lebih besar dalam menentukan masa depan negara.


Menurut beliau, golongan kaya yang dianggarkan mewakili sekitar 10 peratus rakyat menguasai antara 75 hingga 80 peratus kekayaan, manakala sebahagian besar rakyat pula hanya berkongsi kira-kira 25 peratus kekayaan.


“Jadi saya rasa ini tidak adil. Tiba masa untuk orang marhaen menentukan nasib mereka. Jangan serahkan nasib kepada orang elit kerana mereka tidak faham kita.


“Golongan marhaen atau rakyat yang patut tentukan perjalanan negara ini supaya golongan ini yang lebih ramai jumlahnya, yang berkongsi kecil ekonomi, patut mengubah struktur negara ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika sesi Podcast Anak Muda sempena Muktamar Tahunan Pas ke-72 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).


Sanusi berkata, beliau melihat golongan elit sukar memahami realiti kehidupan rakyat bawahan kerana tidak melalui sendiri kesusahan dihadapi golongan berkenaan.


“Golongan elit tidak faham orang susah. Sebab itu saya bercakap, memimpin dan mengendalikan sesuatu perkara dari perspektif orang susah dan rakyat yang jumlahnya besar tetapi berkongsi bahagian kecil dalam ekonomi,” katanya.


Sanusi menegaskan, beliau tidak bermaksud menganggap semua golongan elit tidak memahami denyut nadi rakyat, namun golongan yang lahir dalam kehidupan serba mewah sukar merasai sendiri penderitaan masyarakat miskin.


“Mereka yang beranak dalam jelapang atau dalam kepuk beras tidak faham orang susah. Berlakon sahaja memahami tetapi sebenarnya dia tidak faham,” katanya.


Sanusi turut mengaitkan isu perjudian yang lebih banyak memberi kesan kepada golongan miskin berbanding golongan elit.


“Orang miskin sanggup pertaruhkan wang yang sedikit dengan harapan mengubah nasib. Kegiatan seperti itu terus berlaku kerana tidak mengganggu kepentingan golongan elit, sedangkan kesannya lebih dirasai rakyat bawahan.


“Orang miskin dalam perjudian, gadaikan sekecil-kecil duit yang ada kerana mahu bergantung kepada nasib. Orang kaya atau elit tidak buat kerja itu sebab dia ada banyak duit. Jadi apabila kita menentang perjudian, mereka rasa itu bukan perjuangan mereka,” katanya.


Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, pendekatan dirinya membanteras gejala negatif termasuk perjudian dengan menggunakan bahasa yang dekat dengan rakyat termasuk istilah yang dianggap kasar, bukan bertujuan menghina mana-mana pihak, sebaliknya menggambarkan bahasa kehidupan marhaen.


Katanya, penggunaan bahasa yang terlalu bombastik dan sukar difahami tidak membantu dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.


“Mereka kata tak wajar, samseng, maki hamun, mungkin kasar sedikit bahasa saya, mungkin brutal, dan ada yang tidak selesa, tetapi ini bahasa saya, bahasa harian kita semua yang ramai.


“Kita tidak boleh guna bahasa bangsawan atau bombastik yang payah orang faham. Kalau cakap benda yang orang faham dan mencakupi ramai orang, saya rasa itu lebih baik,” katanya.


Sanusi berkata, perjuangan membela marhaen bukan sekadar soal ekonomi, sebaliknya turut berkaitan usaha membina masyarakat yang lebih adil dan menerima keadaan golongan lain tanpa mengutamakan mereka yang mempunyai kedudukan atau kekayaan.


“Saya pejuang untuk marhaen. Mari kita pakat-pakat tolong bina masyarakat yang adil untuk semua orang.


“Zaman anda (elit) akan berakhir tidak lama lagi. Dunia ini milik Tuhan. Tuhan akan anugerahkan kepada siapa yang Tuhan suka dan Tuhan akan ambil kuasa daripada siapa yang Dia mahu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments