KETEGASAN JAKIM TERHADAP ISU NEW AGE MOVEMENT WAJIBI DISUSULI PENGAKUAN DAN PERMOHONAN MAAF TERBUKA TIMBALAN MENTERI AGAMA

 

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS SELANGOR

Oleh: Ustaz  Dr. Abu Musleh
Pengerusi Lajnah Ilmuwan & Penyelidikan 
Dewan Pemuda PAS Selangor

Tahniah dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), khususnya Panel Pakar Akidah (PPA), atas ketegasan menjalankan siasatan dan sesi tabayyun berhubung isu penyebaran unsur New Age Movement (NAM) dalam program-program pembangunan insan dan kerohanian di negara ini. Tindakan ini membuktikan JAKIM tetap berpegang teguh pada tanggungjawab memelihara kesucian akidah umat Islam.

Akidah ialah asas dan pasak seorang Muslim dan Mukmin. Sebarang penyelewengan padanya, walau sekecil mana pun, membawa kesan jangka panjang terhadap keimanan individu dan masyarakat. Justeru, setiap persoalan yang berbangkit mengenainya wajar diteliti secara serius dan telus mengikut disiplin ilmu yang muktabar, memandangkan ia menyentuh perkara paling pokok dalam agama.

New Age Movement membawa pelbagai unsur yang jelas bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, antaranya fahaman panteisme-panenteisme - monisme yang mencampuradukkan zat Allah dengan makhluk, kepercayaan tenaga kosmik dan cakra yang menyeleweng daripada konsep tauhid, amalan meditasi dan "penyembuhan spiritual" berasaskan agama-agama bukan Islam yang ditutup istilah Islamik agar kelihatan patuh syarak, pluralisme agama yang menyamakan semua ajaran sebagai membawa kebenaran setara, serta doktrin seperti "hukum daya tarik” (law of attraction) yang melemahkan kefahaman qada' dan qadar serta seolah-olah memperhambakan Allah SWT demi kehendak manusia. Lebih mengelirukan, penyebar NAM mencampur adukkan pseudosains, pseudopsikologi, dan elemen-elemen agama bagi mengabsahkan ajarannya. Unsur-unsur ini paling mudah menyusup melalui seminar motivasi, kursus pembangunan diri dan program kerohanian yang pada zahirnya kelihatan neutral.

Isu pengistilahan turut menjadi keutamaan besar dalam tradisi ilmu Islam, khususnya dalam bab akidah. Ulama usul menetapkan kaedah bahawa hukum ke atas sesuatu perkara adalah cabang daripada ketepatan gambaran (tasawwur) terhadapnya terlebih dahulu (al-hukm 'ala al-shay' bi al-nafy wa al-ithbat far' 'an tasawwurih). Justeru, istilah yang samar atau boleh membawa lebih daripada satu makna yang digelar ulama sebagai al-alfaz al-mujmalah, perlu diperincikan maksudnya terlebih dahulu sebagaimana ditegaskan Ibn al-'Attar (m. 724H) dalam al-I'tiqad al-Khalis ketika membahaskan lafaz seperti "al-hayyiz" (ruang) yang tidak boleh ditetap atau dinafikan berkaitan Allah melainkan selepas permintaan penjelasan terperinci (istifsal). Masalah di sini adalah, istilah NAM yang diguna jelas membawa penyelewengan. Bila diminta perincian, lebih jauh tersasar dari landasan.

Lebih membimbangkan lagi apabila istilah Islam yang sahih sengaja dipinjam untuk menutup fahaman yang bercanggah dengannya. Inilah sebabnya pihak berautoriti wajar meneliti dengan teliti setiap istilah yang digunakan dalam mana-mana program kerohanian atau pembangunan insan oleh sebahagian penceramah motivasi yang menggunakan istilah-istilah yang dikaitkan dengan New Age Movement, kerana di sinilah selalunya berlaku penyelewengan akidah yang paling halus dan paling sukar dikesan oleh masyarakat awam.

Kenyataan media JAKIM bertarikh 27 September 2026 dengan jelas menyebut satu sesi tabayyun telah diadakan bersama YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan hasilnya, teguran, nasihat serta panduan telah diberikan berkaitan kandungan dan pendekatan program yang mempunyai implikasi terhadap akidah. Ini menguatkan tanggapan bahawa kebimbangan masyarakat yang dibangkitkan sebelum ini mempunyai asas yang wajar diambil serius oleh pihak berautoriti.

Sebelum ini, pihak Timbalan Menteri telah mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang kaitan dengan NAM dan memberi tempoh 24 jam kepada pengkritik untuk menarik balik tuduhan serta membuat permohonan maaf terbuka, disertai ugutan tindakan undang-undang. Ini amat tidak profesional, tidak matang, dan memalukan kerana beliau menggunakan kepala surat pejabatnya untuk menjawab isu peribadi. Memandangkan JAKIM kini mengesahkan wujudnya isu implikasi akidah dalam program berkenaan, adalah wajar bagi Timbalan Menteri mengeluarkan kenyataan susulan yang mengakui perkara ini secara terbuka kepada masyarakat, selaras dengan dapatan JAKIM tersebut. Saya melihat, masih ramai murid-muridnya yang tidak faham dan tidak tahu di mana salahnya ajaran-ajaran yang dibawa beliau.

Sudah sampai masanya untuk Ashabus Samahah Mufti-Mufti, JAKIM, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan pihak berautoriti agama negeri terus memantau dan mengkaji isu ini secara telus dan konsisten, demi memelihara kesucian akidah umat Islam tanpa mengira kedudukan atau status pihak yang terlibat. 

Cukuplah kita hairan, bagaimana individu sebegini boleh dipilih oleh PMX sebagai Timbalan Menteri. Rakyat kini menunggu pengakuan dan permohonan maaf YB Senator Marhamah Rosli, dan semestinya disusuli dengan peletakan jawatan!

27 SEPTEMBER 2026 | 15 RABI'ULAKHIR 1448 H

Post a Comment

0 Comments