PELAJAR MAUT DI ASRAMA: MANA DASAR KESELAMATAN DAN ANTIBULI KPM?

Oleh: Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia,
Ahli Parlimen Alor Setar

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar SMK Za’ba, Kuala Pilah yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah. 

DPPM turut menyeru semua pihak memberikan ruang kepada PDRM menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi menentukan punca sebenar kejadian.

Namun, tragedi ini menuntut penjelasan serius daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Mana pergi segala dasar, garis panduan dan kempen keselamatan serta antibuli yang diumumkan sebelum ini?

KPM sebelum ini telah memperkenalkan Polisi Perlindungan Murid Sekolah dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat, selain pelbagai mekanisme pencegahan serta pelaporan kes buli.

Persoalannya, adakah semua ini benar-benar dilaksanakan di sekolah dan asrama, atau sekadar baik di atas kertas?

Jika sistem pemantauan benar-benar berfungsi, sejauh mana warden dan pihak sekolah mampu mengesan risiko lebih awal?

Adakah saluran aduan benar-benar selamat dan diyakini murid?

Siapa yang memastikan setiap sekolah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan?

DPPM menggesa Menteri Pendidikan tampil menjelaskan tahap sebenar pelaksanaan dan pemantauan dasar tersebut di sekolah berasrama seluruh negara. Jangan sekadar umum dasar selepas sesuatu tragedi, kemudian menunggu tragedi seterusnya untuk kembali bercakap mengenai keselamatan murid.

Pada masa sama, siasatan kes ini mesti dilakukan secara telus dan menyeluruh tanpa mendahului dapatan pihak berkuasa. Sekiranya ditemukan unsur jenayah, kecuaian atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi.

Sekolah dan asrama mesti menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak kita. Dasar antibuli tidak boleh sekadar menjadi slogan. 

Jangan tunggu satu lagi nyawa terkorban sebelum kelemahan sistem diperbetulkan.
 

Post a Comment

0 Comments