"NYATAKAN PENDIRIAN JELAS ATAU LETAK JAWATAN"
Oleh: Ustaz Dato' Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
1. Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil maklum dan memandang serius berhubung kenyataan media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 27 September 2026 berkenaan dengan isu ini. Kenyataan tersebut mengesahkan wujudnya siasatan dan pertemuan berhubung isu penyebaran unsur New Age Movement (NAM) yang dikaitkan secara langsung dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
2. Walaupun pihak JAKIM menyatakan bahawa teguran, nasihat, dan panduan telah diberikan kepada beliau berhubung implikasi program pendekatannya terhadap agama dan akidah, Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa hal yang menyentuh soal akidah umat Islam tidak boleh dipandang enteng atau diselesaikan sekadar di belakang pintu tertutup apa lagi melibatkan pemegang amanah di peringkat pentadbiran negara yang portfolionya menjaga agama umat Islam di Malaysia.
3. Sehubungan dengan itu, kami mendesak YB Timbalan Menteri untuk tampil bertanggungjawab dan menyatakan pendirian terkininya secara jujur dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau wajib menjelaskan sama ada beliau masih mengikuti dan meyakini ajaran ini atau sebaliknya. Setakat kenyataan-kenyataan beliau yang terkini, beliau dilihat masih mengelak dan bermain tarik tali dalam isu yang sangat kritikal ini.
4. Kesucian akidah adalah garis merah yang tidak boleh dipertaruhkan. Oleh demikian, kami mendesak agar beliau segera meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kedudukan ini menuntut integriti akidah yang tidak berbelah bahagi, suci dan benar.
5. Lebih daripada itu, beliau perlu disiasat secara terperinci dan telus oleh pihak penguatkuasa agama bahagian ajaran sesat. Beliau juga harus diwajibkan untuk melalui proses kaunseling pemulihan dan menyatakan taubat secara rasmi sekiranya terbukti wujud penyelewengan akidah, bagi membersihkan imej institusi agama negara
6. Kami juga menggesa YAB Perdana Menteri dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk segera campur tangan dalam isu ini. Sebagai pucuk pimpinan kerajaan, campur tangan ini amat mendesak memandangkan majoriti umat Islam kini berada dalam keadaan resah dan gusar dengan dakwaan yang wujud serta sikap Timbalan Menteri yang terus meragukan
7. Persoalan besar yang bermain di minda seluruh umat Islam pada hari ini ialah bagaimana umat Islam di Malaysia boleh merasa selamat dan aman jika urusan agama peringkat persekutuan dipimpin oleh orang yang diragui dan dipertikaikan akidahnya? Kerajaan mesti bertindak segera demi memelihara kesucian Islam di negara ini.
0 Comments