Oleh: Roslinda Hashim
PADANG TERAP - Kedah Rubber City (KRC) mencatat sejarah baharu apabila kilang Prinx Tire (Malaysia) berjaya menghasilkan tayar pertama pada 9 Oktober, sekali gus menandakan perkembangan penting sektor perindustrian berteknologi tinggi di daerah ini.
Kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencapaian penting kepada Prinx Chengshan, malah membuka lembaran baharu kepada usaha menjadikan Padang Terap sebagai hab perindustrian yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, penghasilan tayar pertama itu membawa makna besar kepada penduduk setempat yang sekian lama mengharapkan lebih banyak peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi hasil pembangunan industri di kawasan berkenaan.
“Buat pertama kalinya, sebuah tayar berjaya dihasilkan di kilang Prinx Tire, di KRC,” katanya.
Menurutnya, pencapaian tersebut diumumkan sempena Persidangan Pengedar Antarabangsa Prinx Chengshan bagi meraikan ulang tahun ke-50 syarikat itu yang berlangsung pada hari sama dengan pengeluaran tayar pertama dari kilang berkenaan.
Malah, kejayaan itu turut mendapat liputan media industri tayar antarabangsa termasuk Tyrepress dari United Kingdom.
Pada persidangan tersebut, Pengurus Besar Prinx Tire (Malaysia), Cao Kai turut menunjukkan tayar pertama yang dihasilkan di kilang berkenaan kepada tetamu menerusi sidang video.
Nurul Amin berkata, kejayaan menghasilkan tayar pertama itu hanyalah permulaan kerana masih banyak perkara perlu diberi perhatian, khususnya penyediaan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, kemudahan jalan raya, infrastruktur serta limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar.
"Bagi orang lain, mungkin ini sekadar sebiji tayar. Tetapi bagi saya dan rakyat Padang Terap, ia membawa seribu makna.
"Di sebalik kejayaan ini, tersimpan cita-cita besar untuk melihat Padang Terap tidak lagi hanya dikenali sebagai daerah pertanian, tetapi muncul sebagai pusat perindustrian yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Ia turut menyimpan harapan anak-anak muda yang ingin mendapatkan pekerjaan di tanah kelahiran sendiri, termasuk impian ibu ayah yang tidak mahu lagi melihat anak-anak terpaksa berhijrah jauh semata-mata untuk mencari rezeki,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan sebenar bukan sekadar pembinaan kilang besar dan canggih, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, peningkatan pendapatan keluarga serta masa depan lebih baik untuk golongan muda di negeri sendiri.
“Saya mahu kejayaan di KRC benar-benar dirasai oleh rakyat Padang Terap. Selepas tayar pertama berjaya dihasilkan, moga suatu hari nanti, tayar buatan Padang Terap ini akan bergerak di jalan raya seluruh dunia.
“Pencapaian bersejarah ini membuktikan Padang Terap sedang membina masa depannya sendiri. Dari Padang Terap untuk dunia,” katanya.
Sebelum ini, pada November 2025, Prinx Chengshan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Prinx Tire (Malaysia) Sdn. Bhd. mengumumkan pelaburan sebanyak RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun bagi membangunkan kemudahan pembuatan tayar berteknologi tinggi di KRC.
Pelaburan itu dilaksanakan menerusi dua fasa, iaitu RM1.2 bilion bagi fasa pertama dan RM1.4 bilion untuk fasa kedua.
Kilang berkeluasan 102.63 ekar (41.53 hektar) itu dirancang mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak enam juta tayar Radial Kereta Penumpang (PCR) dan 600,000 tayar Radial Trak dan Bas (TBR) pada fasa pertama sebelum ditingkatkan kepada sembilan juta tayar PCR.
Kemudahan berkenaan turut dilengkapi teknologi Industri 4.0, sistem automasi canggih, proses pembuatan pintar, gudang pintar serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain mewujudkan lebih 1,056 peluang pekerjaan, ia turut merancakkan pemindahan teknologi, memperkukuh rantaian bekalan industri serta membuka ruang kepada penyertaan syarikat tempatan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Fasiliti itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2027 dan akan menjadikan Kedah sebagai hab utama pembuatan tayar tercanggih di Asia Tenggara.

0 Comments