Oleh: Dr Khalid Hamka
Penganalisis Politik
Polemik Penyatuan Ummah semakin menarik apabila UMNO mahu menguji keikhlasan PAS, sedangkan Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor menawarkan formula yang lebih praktikal, besarkan medan rundingan supaya kedua-dua pihak mempunyai ruang untuk membuat pelarasan.
Sebelum itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan supaya selepas PRN Melaka, sebuah negeri SG4 khususnya Terengganu mengadakan PRN bagi menguji keikhlasan PAS dalam kerjasama politik.
Cadangan itu mencetuskan pertikaian rakyat dan penyokong, mengapa PAS perlu terlebih dahulu membuktikan keikhlasan dengan membuka kubunya sendiri?
KALAU KERUSI JADI UKURAN, LIHAT REKOD
Sanusi membalas dengan meminta UMNO melihat kembali rekod kerjasama pilihan raya sebelum meminta PAS membuktikan keikhlasan melalui Terengganu.
Di Johor, BN bertanding kesemua 56 kerusi, manakala PN bertanding 33. Tiada formula pembahagian sama rata. Itupun BN bertanding di 3 kerusi yang asal disandang PAS. Arahan Presiden PAS jelas, berikan undi kepada BN demi elak pecah undi yang akibatkan PH menang.
Di Negeri Sembilan, pembahagiannya juga jauh daripada 50:50, BN 25 kerusi, PN 11 kerusi. BN ambil satu kerusi asal disandang PN. BN langgar status quo. PAS akur dan teruskan kerjasama. PRN menang bersama tapi PN dapat 2 exco sahaja daripada 10 yang sepatutnya formula nisbah 3 exco kepada PN. Tapi PAS sabar.
Kini di Melaka, BN sudah menyatakan mahu mempertahankan 21 daripada 28 kerusi yang dimenanginya sebagai “garisan sempadan” rundingan. Pun PAS sabar dan sedia timbangkan baki 7 kerusi yang BN tidak bertanding.
Maka timbul persoalan mengenai konsistensi ukuran tersebut:
Johor — BN 56, PN 33.
Negeri Sembilan — BN 25, PN 11.
Melaka — 21 kerusi BN mahu dipertahankan.
Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba Terengganu pula diminta menjadi medan PAS membuktikan keikhlasan. Rakyat dan penyokong mula bangkit pertikai.
Jika pembahagian kerusi mahu dijadikan ukuran keikhlasan, ukuran yang sama sewajarnya dikenakan kepada semua pihak.
SANUSI TAWARKAN FORMULA ‘KESOT’
Sanusi tidak menolak rundingan kerusi. Sebaliknya beliau mencadangkan supaya rundingan tidak dikurung dalam sempadan sebuah negeri.
Menurut beliau,
“Kita kena buka medan itu bagi luas, baru boleh buat anjakan. Orang Kedah kata renjak, kesot sana, kesot sini.”
Maksudnya mudah. Jangan runding Melaka dengan melihat Melaka sahaja. Jangan bincang Terengganu dengan melihat Terengganu sahaja.
Bentangkan peta seluruh Malaysia. Apabila rundingan diperluaskan, adjustment dan swapping boleh dilakukan antara negeri. Pengorbanan sebuah parti di satu negeri boleh diseimbangkan dengan ruang yang diberikan oleh parti lain di negeri berbeza.
Jika UMNO mahukan ruang di Kedah, Kelantan atau Terengganu, PAS juga boleh diberikan ruang di negeri yang UMNO mempunyai kekuatan.
Barulah wujud give and take sebenar.
MELAKA BOLEH JADI MEDAN PERMULAAN
Sebab itu Melaka sebenarnya medan paling hampir untuk menguji kesungguhan kedua-dua pihak.
BN mempunyai 21 daripada 28 kerusi dan mahu mempertahankan kesemuanya. Jika rundingan hanya dilakukan dalam kotak Melaka, ruang untuk PAS dan parti lain memang terlalu sempit.
Sanusi mencadangkan supaya kotak itu diperbesarkan. Jika UMNO membuka beberapa kerusi kepada PAS di Melaka, pertukaran boleh dibincangkan melalui kerusi di Kedah, Kelantan, Terengganu atau Perlis.
Ini tidak bermaksud kerusi mesti dibahagikan 50:50.
Rundingan tetap perlu mengambil kira penyandang, kekuatan jentera, calon, demografi dan kebolehmenangan. Tetapi prinsipnya jelas, jangan meminta ruang daripada rakan jika ruang sendiri langsung tidak mahu dibincangkan.
PENYATUAN UMMAH JANGAN DISEMPITKAN KEPADA KERUSI
Lebih penting, Penyatuan Ummah tidak sepatutnya berakhir dengan PAS dan UMNO duduk membahagikan kerusi. Kalau itu sahaja matlamatnya, ia hanyalah kerjasama pilihan raya.
Kerangka yang dibawa PAS lebih luas dengan membuka ruang kepada parti Melayu-Islam lain, NGO, agamawan, profesional dan kelompok masyarakat yang berkongsi titik persamaan.
Malah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya menegaskan bahawa Penyatuan Ummah perlu membina keyakinan masyarakat bukan Islam, supaya tidak dilihat sebagai agenda yang hanya menguntungkan orang Melayu.
Maknanya Penyatuan Ummah perlu bergerak melangkaui dua logo parti dan kalkulator pilihan raya.
Kerusi ialah instrumen politik. Ummah ialah agenda yang jauh lebih besar.
UMNO PERLU UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI
UMNO juga perlulah ukur baju di badan sendiri. Jangan terus menganggap PAS sebuah parti kerdil yang boleh diarahkan untuk membuktikan keikhlasan mengikut ukuran sebelah pihak. Landskap politik sudah berubah dan kedudukan kedua-dua parti hari ini tidak sama seperti dahulu.
Yang lebih penting, PAS membuka pintu Penyatuan Ummah bukan ketika parti itu lemah atau terdesak mencari talian hayat politik. PAS datang ke meja rundingan ketika mempunyai kekuatan sendiri, menguasai kerajaan negeri dan mempunyai kedudukan politik yang signifikan.
Kesediaan sebuah parti yang berada dalam keadaan kuat untuk tetap membuka ruang rundingan dan mencari titik pertemuan merupakan fakta politik yang relevan apabila kedua-dua pihak membahaskan soal keikhlasan.
Sebab itu UMNO tidak perlu terlalu cepat meminta PAS membuktikan keikhlasan.
PAS memilih untuk membuka pintu ketika berada dalam kedudukan yang kuat. Dari sudut PAS, itulah asas utama kepada hujah bahawa tawaran Penyatuan Ummah bukan lahir daripada kelemahan atau keterdesakan politik.
Jangan tunggu rakyat buka statistik kerusi BN yang berapa kerat sahaja dibandingkan kerusi PAS yang jauh lebih banyak. Kelak malu muka UMNO sembunyi bawah meja.

0 Comments