KEKURANGAN DANA, TAJAAN ANTARA KEKANGAN SEPAK TAKRAW KEDAH BERSAING DI STL - PESTAK


Oleh: Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR - Kekangan kewangan dan penajaan yang terhad antara cabaran utama yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi sepak takraw Kedah, seterusnya untuk kembali bersaing dalam Liga Sepak Takraw (STL).

Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (PESTAK), Hazril Zulkifli berkata, penyertaan dalam STL memerlukan perbelanjaan besar sepanjang musim, sedangkan persatuan tidak mempunyai sokongan syarikat gergasi yang mampu menyediakan dana besar kepada pasukan.

Menurutnya, ia diburukkan lagi dengan persepsi sebahagian masyarakat yang menganggap sepak takraw sebagai sukan golongan B40, menyebabkan penaja kurang berminat untuk menaja pasukan negeri.

“Sepak takraw tidak seperti sukan lain yang mempunyai syarikat gergasi memayungi persatuan. Maka, persatuan tidak mampu memberi elaun atau gaji yang tinggi kepada pemain.

“Kekangan itu menyukarkan persatuan menawarkan elaun atau gaji setimpal kepada pemain senior yang mempunyai komitmen sara hidup dan perlu menanggung perbelanjaan sepanjang mengikuti latihan serta kejohanan.

“Harus difahami, pemain-pemain senior ini bukan lagi pemain yang masih bersekolah. Ada kos yang perlu dikeluarkan ketika mereka hadir ke latihan dan ada mulut yang perlu disuap ketika mereka keluar ke kejohanan yang kadangkala mengambil masa lebih daripada dua minggu,” katanya.

Menurut Hazril, kekangan dana bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan senior, malah turut menjejaskan keupayaan persatuan melaksanakan tanggungjawab dalam pembangunan sepak takraw membabitkan aspek kejurulatihan, pengadilan dan penyediaan fasiliti di setiap daerah.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha menghidupkan semula sepak takraw Kedah mula menunjukkan perkembangan positif selepas berlaku perubahan keseluruhan dalam kepimpinan PESTAK pada hujung 2024.

“Presiden PESTAK, Dato’ Abd Aziz Sheikh Fadzir mengambil inisiatif turun padang dengan bertemu badan pemegang taruh dalam pembangunan sukan termasuk Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN Kedah) dan Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK).

“Usaha ini memulihkan hubungan dan penglibatan bersama dalam pelbagai program selain merangka inisiatif untuk membangunkan semula sepak takraw Kedah dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Tambah beliau, usaha itu membuahkan hasil apabila Kedah mula mencatat beberapa pencapaian membanggakan sejak 2024, antaranya menjuarai acara beregu Piala Tun Ali 2024, tempat ketiga Kejohanan Belia Kebangsaan 2025 serta juara acara beregu bawah 15 tahun dan naib juara acara regu bawah 18 tahun MSSM 2025.

Kedah turut menduduki tempat ketiga Kejohanan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) Kebangsaan bawah 16 tahun 2025, selain mara ke suku akhir STL Divisyen 1 2025 dan muncul naib juara acara regu Piala Tun Ali 2025.

Dalam memperkukuh pembangunan akar umbi, Hazril berkata, PESTAK turut mempergiatkan Klinik Sepak Takraw menerusi program ‘Jelajah Kedah Eagle’ dengan membawa pemain senior bersama-sama turun ke daerah bagi menyertai program pembangunan pemain muda.
“PESTAK turut bekerjasama dengan NSTDP dalam penganjuran kejohanan di peringkat negeri selain memberi tumpuan kepada pembangunan pemain bawah 11, 14 dan 16 tahun serta skuad wanita bawah 17 tahun.

“Program NSTDP ini sangat baik kepada pembangunan kerana fokus program ini tertumpu kepada pemain di bawah umur 17 tahun.

“Dana yang disumbangkan untuk latihan, penganjuran kejohanan serta peralatan ini melegakan persatuan di kala kesempitan dana untuk pembangunan,” katanya.

Hazril berkata, kejayaan Kedah muncul juara acara utama kategori regu bawah 18 tahun pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026, menjadi suntikan motivasi kepada guru dan jurulatih di setiap daerah untuk terus mencurahkan khidmat dalam membangunkan bakat muda.

“Kebangkitan sepak takraw Kedah sebenarnya sudah mula dirasai menerusi kejayaan pasukan senior menjuarai acara beregu Piala Tun Ali 2024, sebelum disusuli beberapa pencapaian lain di peringkat kebangsaan dan pembangunan usia muda,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments