INOKOM KULIM KELUARKAN LEBIH 530,000 KENDERAAN, 20 PERATUS PASARAN EKSPORT

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KULIM - Hab pemasangan automotif Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom) di Kulim mencatat pencapaian membanggakan apabila mengeluarkan lebih 530,000 unit kenderaan sejak mula beroperasi, dengan 20 peratus daripadanya dieksport ke pasaran luar negara.

Pencapaian itu dikongsikan Kementerian Kewangan (MOF) sempena lawatan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ke fasiliti berkenaan pada Isnin lalu.

Inokom yang beroperasi di kawasan seluas 200 ekar kini mengendalikan pemasangan 29 model daripada tujuh jenama automotif global, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara hab pemasangan automotif penting di Malaysia.

Tujuh jenama berkenaan terdiri daripada tiga jenama Jerman, iaitu BMW, MINI dan Porsche; dua dari Korea (Hyundai dan Kia) selain Mazda dari Jepun serta Chery dari China.

Menurut MOF, antara kemudahan yang menjadi tumpuan ialah fasiliti pemasangan Porsche pertama di luar Eropah yang dilancarkan pada 2022.

“Fasiliti berkenaan kemudiannya diperluaskan kepada 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menampung pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé, dengan lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim sehingga Mac 2026,” katanya.

MOF turut berkongsi kisah kejayaan Eisqil Yuliana yang memulakan kerjaya menerusi program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses dan kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Lebih menarik, kejayaan operasi berkenaan turut digerakkan sepenuhnya oleh bakat tempatan apabila 100 peratus tenaga kerja Inokom terdiri daripada rakyat Malaysia.

Menurut MOF, pencapaian Inokom bukan sahaja membuktikan keupayaan tenaga kerja tempatan mengendalikan operasi pemasangan kenderaan bertaraf global, malah memberi limpahan kepada ekosistem industri tempatan.

“Kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan menerusi pembekalan komponen, perkhidmatan logistik serta pelbagai perkhidmatan sokongan lain,” kata kenyataan itu.

Kenderaan yang dipasang di Inokom Kulim bukan sahaja dipasarkan dalam negara, malah turut dieksport ke beberapa negara ASEAN.

MOF berkata, pertumbuhan syarikat tempatan bersama pengeluar global berkenaan mencerminkan kesan pengganda yang mahu dipacu menerusi pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP.

“Pelaburan yang berkualiti bukan sekadar membawa masuk modal, ia turut memperkukuh sektor strategik, memindahkan pengetahuan, membangunkan bakat tempatan dan membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk sertai rantaian nilai.

“Inilah usaha untuk menaikkan siling ekonomi sambil menaikkan lantai rakyat melalui pekerjaan, kemahiran dan peluang yang lebih baik,” menurut MOF.

Kilang Inokom di Kulim mula beroperasi pada Ogos 1997 dan kini sudah hampir tiga dekad menjadi antara hab pemasangan automotif utama negara.

Post a Comment

0 Comments