KEDAH PERKENAL PERLINDUNGAN TAKAFUL UNTUK MAHASISWA ANAK KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan hampir RM500,000 bagi pembayaran premium skim perlindungan Takaful Keluarga Berkelompok membabitkan 42,030 mahasiswa anak Kedah yang layak di seluruh negara.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, inisiatif menerusi ‘Kedah Siswa Care’ itu merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan bagi memberi perlindungan kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi negeri (IPTN).

Menurut beliau, perlindungan tersebut meliputi manfaat RM8,000 sekiranya berlaku kematian atas semua sebab, termasuk penyakit yang membawa maut, selain RM8,000 bagi keilatan menyeluruh dan kekal.

“Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka. Atas sebab itu kita melancarkan Program Perlindungan Takaful Keluarga Berkelompok bagi Mahasiswa Kedah atau Kedah Siswa Care.

“Memang jumlahnya tidaklah banyak, tetapi sekurang-kurangnya ada sesuatu sebagai perlindungan kepada anak-anak Kedah sekiranya berlaku musibah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah kali ke-3 dan Kedah Siswa Care.

Sanusi berkata, perlindungan berkenaan diberikan sepanjang tempoh mahasiswa terbabit melanjutkan pengajian dan akan tamat apabila mereka selesai belajar.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan memperbaharui caruman premium tersebut setiap tahun bagi membolehkan mahasiswa baharu turut menerima manfaat perlindungan.

“Apabila mereka habis belajar, skim itu tamat dan pelajar baharu pula akan masuk. Jadi setiap tahun Kerajaan Negeri akan mencarum dan membeli premium perlindungan untuk semua anak Kedah yang layak,” katanya.

Beliau berkata, idea pelaksanaan skim tersebut tercetus susulan peningkatan aktiviti mahasiswa di luar kampus yang mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko, termasuk kemalangan dan musibah yang tidak dijangka.

“Berdasarkan kemalangan yang menimpa pelajar yang kita tidak sangka, kita perlu ada persediaan. Ada keluarga yang anak mereka mengalami kemalangan dan mohon bantuan wakil rakyat.

“Jadi kalau kita boleh melindungi sebahagian daripada kos itu, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga bersama,” katanya.

Sanusi berkata, pembiayaan skim perlindungan berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, dengan kerjasama Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad.

“Perlindungan ini untuk pemegang Kad Siswa anak Kedah, sepanjang mereka belajar, tidak kira di mana mereka berada. Kalau berlaku musibah, maklumkan kepada kita untuk manfaatkan skim ini.

“Nilai ini mungkin tidak mampu menggantikan kehilangan sebuah kehidupan. Tetapi apabila berlaku musibah, sekurang-kurangnya ada sedikit bantuan untuk meringankan beban keluarga,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya Sanusi memaklumkan, seramai 1,200 mahasiswa menyertai Program Bakti Siswa Perdana tahun ini dengan ditempatkan bersama keluarga angkat di seluruh 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Beliau berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti turun ke kampung atau memenuhi jadual mahasiswa, sebaliknya menjadi satu bentuk pembelajaran kehidupan dengan memberi peluang kepada mereka memahami realiti masyarakat.

“Program ini bukan sekadar program turun ke kampung atau memenuhi jadual aktiviti. Ia adalah sekolah kehidupan

“Dengan turun sendiri ke lapangan dan menghayati denyut nadi masyarakat yang mungkin berbeza dengan latar belakang kehidupan yang pernah dilalui, ia akan memberikan pengalaman baharu yang mungkin tidak sama dengan latar belakang diri anak-anak selama ini,” katanya.

Tegas beliau, jadikan setiap perkara sama ada yang baik mahupun buruk sebagai ilmu dan pengajaran untuk membawa diri ke arah kebaikan.

Post a Comment

0 Comments