SANUSI AJAK ANAK KEDAH KEMBALI MENYUMBANG KEPADA NEGERI

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengajak seluruh anak Kedah yang sedang menuntut di universiti, institusi pengajian tinggi dan sekolah supaya menanam azam untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.

Beliau berkata, kejayaan anak Kedah tidak seharusnya hanya dimanfaatkan untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya dikembalikan kepada negeri bagi membantu membina generasi yang mampu mengisi gagasan besar ‘The Greater Kedah’.

“Apa yang difikirkan terbaik untuk Kedah sekarang sedang kita usahakan. Semua anak-anak Kedah di universiti, di institusi pengajian, di sekolah, marilah menanam azam bersungguh-sungguh.

“Kita mahu bina generasi Kedah yang akan mengisi gagasan The Greater Kedah yang sedang kita usahakan. Mai pakat menyumbang, mai pakat mengisi. Kita usahakan ramai-ramai, jangan bawa diri sorang-sorang.

“Seorang yang terpisah daripada kumpulan akan dimakan ‘serigala’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah kali ke-3 dan Kedah Siswa Care, Program Perlindungan Takaful Keluarga Berkelompok bagi Mahasiswa Kedah, di sini.

Sanusi berkata, kejayaan yang dicapai anak Kedah pada masa hadapan perlu diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kepada negeri, sama ada menerusi modal, ilmu, peluang pekerjaan mahupun bantuan kepada individu lain.

“Kalau tidak mampu membawa modal, bawalah ilmu. Kalau tidak mampu membuka syarikat, bukalah peluang. Kalau tidak mampu membantu ramai orang, bantulah sekurang-kurangnya seorang anak Kedah untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Tegasnya, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh dibina oleh kerajaan seorang diri, sebaliknya memerlukan penglibatan anak negeri yang berjaya dan tidak melupakan tempat mereka bermula.

“Kerana negeri yang kuat tidak dibina oleh kerajaan seorang diri. Ia dibina apabila anak negerinya yang berjaya masih ingat kepada tanah tempat mereka bermula.

“Saya mahu anak Kedah bukan sekadar mempunyai kelulusan, tetapi mempunyai keupayaan. Bukan sekadar pandai bercakap tentang masalah, tetapi mampu menawarkan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata, sokongan anak Kedah amat diperlukan bagi memastikan negeri ini terus diangkat dan dibangunkan dengan sebaik mungkin.

“Saya perlukan sokongan anak-anak Kedah untuk kita angkat Kedah, bukan untuk dipuji-puja oleh orang, untuk kita hidup senang, tidak dipandang hina oleh sesiapa pun.

“Merendah diri adalah wajib, tapi menghina diri adalah haram. Persiapkan kehidupan penuh erti, agar tidak dipandang sebelah mata,” katanya. 

Sanusi turut menyeru anak Kedah supaya berani menyuarakan pandangan, memperjuangkan hak serta membela nasib negeri tanpa rasa rendah diri.

“Bercakaplah terus terang, jangan malu-malu, tersipu-sipu. Jangan malu tak bertempat. Suarakan pandangan, perjuangkan hak kita, bela nasib kita.

“Hiduplah untuk generasi yang akan datang lebih baik daripada apa yang telah kita lalui,” katanya.

Sanusi turut menasihatkan mahasiswa supaya tidak menjadikan kejayaan peribadi sebagai matlamat akhir, sebaliknya mempunyai keinginan untuk membawa orang lain maju bersama.

“Saya ingin nasihatkan, bukan sekadar bercita-cita untuk berjaya bagi diri sendiri, tetapi mempunyai keinginan untuk membawa orang lain maju bersama,” katanya.

Post a Comment

0 Comments