“SIASATAN SEPATUTNYA DILAKUKAN BERPULUH TAHUN DULU”
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh sehingga ke akar umbi, berhubung isu kelewatan pengagihan bekalan baja kepada pesawah di negeri ini.
Beliau berkata, siasatan berhubung isu tersebut sepatutnya dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lalu bagi mengenal pasti kelemahan dalam sistem pengagihan subsidi kepada pesawah.
“Siasatan sepatutnya dilakukan berpuluh-puluh tahun dulu. Alhamdulillah sekarang sudah diambil tindakan.
“Siasat betul-betul. Kalau pun tiada tangkapan, berilah pedoman untuk penambahbaikan. Apa pandangan SPRM untuk menambah baik sistem ini, buat betul-betul,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah Ke-3 dan Kedah Siswa Care, hari ini.
Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan SPRM menyiasat isu kelewatan berkenaan.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang beri respon segera suruh siasat sampai ke akar umbi,” katanya.
Tegas beliau, perkara paling penting ialah memastikan manfaat skim subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada pesawah dan bukannya hanya memberi keuntungan kepada pembekal, peniaga atau syarikat.
“Pastikan manfaat skim subsidi kerajaan sampai kepada petani, bukan kepada peniaga, atau syarikat.
“Yang berlaku sekarang, pesawah tak tengok pun duit subsidi itu. Terus pergi kepada pembekal baja, racun, traktor. Ia tidak lintas dalam poket pesawah pun,” katanya.
Sanusi berkata, sudah tiba masanya mekanisme pengagihan subsidi kepada pesawah dikaji semula bagi memastikan bantuan kerajaan mencapai matlamat asal.
“Saya rasa pesawah lebih faham berbanding orang yang mengawal industri. Baja nak beli di mana, benih nak dapat di mana, beli bila, bulan berapa, mereka lebih faham perjalanan industri tanaman,” katanya.
Beliau juga menolak tanggapan sekiranya bantuan diberikan secara terus kepada pesawah, mereka tidak akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pertanian.
“Itu anggapan orang, konon kalau bagi kepada mereka nanti tak buat padi, sebaliknya guna beli motor, pesawah lebih memahami situasi,” katanya.
Sanusi berkata, isu berkaitan baja bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan sejak sekian lama, termasuk masalah kontrak pembekalan, bekalan tidak mencukupi serta proses perolehan yang menyebabkan pesawah berdepan kesukaran mendapatkan input pertanian.
“Isu baja, benih, racun berlarutan. Seolah-olah kita tanam padi baru buat semalam, sedangkan tanam padi sudah seribu tahun di Kedah.
“Skim subsidi baja juga bukan baharu. Berpuluh-puluh tahun, tapi tak boleh urus dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, keadaan itu akhirnya menyebabkan skim bantuan kepada penanam padi lebih banyak memberi manfaat kepada syarikat pembekal baja, racun dan keperluan pertanian berbanding pesawah sendiri.
“Semua ini jadi medan bisnes sahaja. Syarikat bekal baja, bekal racun, syarikat itu, syarikat ini. Akhirnya yang terbela dalam skim bantuan penanam padi adalah syarikat-syarikat, bukan pesawah,” katanya.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, masalah eksploitasi terhadap pesawah juga bukan perkara baharu dan telah lama berlaku sejak dahulu.
“Dulu sistem kunca, sistem hutang antara tauke dan pesawah, sebahagian hasil tanaman terpaksa dipotong untuk langsai hutang.
“Selepas itu, kilang baja bagi orang lain, kontrak baja orang lain, kemudian diberi pada NAFAS, akhirnya dibuat tender terbuka dapat pada orang lain, akhir sekali cari baja tak jumpa
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bukan dari kalangan yang memahami medan yang mereka jaga, mereka memahami bisnes dalam industri itu. Ramai pesawah sudah putus asa dengan agensi-agensi terlibat,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Zainal Rashid Ahmad (ZRA) yang membangkitkan isu berkenaan.
“Kalau saya bercakap isu ni, mereka kata isu politik. Kalau orang ramai, aktivis cakap, kerajaan perlu bertindak. Kalau semua prihatin, dunia akan menjadi lebih baik.
“Saya malas nak cakap sebab ceplos banyak bagi respon yang di luar kotak dan di luar otak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berhubung isu kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) kepada pesawah di Kedah.
Menurutnya, SPRM Kedah menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) pada 26 Ogos lalu berhubung kelewatan pembekalan baja yang dilantik KPKM bagi memenuhi keperluan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 100,000 hektar.
Setakat ini SPRM telah merakam percakapan seorang saksi daripada PeSAWAH dan menerima beberapa dokumen berkaitan.
Siasatan turut menjurus kepada aspek jenayah, dan kemungkinan wujud kelemahan tatakelola yang menyebabkan berlaku kelewatan pembekalan baja.
Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM menjalankan siasatan berhubung isu terbabit.
Anwar menegaskan masalah berkenaan menyebabkan pesawah menjadi mangsa dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku serta tidak boleh dibiarkan berulang.

0 Comments